MEMASUKI minggu kedua Syawal, budaya kunjung-mengunjungi masih meriah dilakukan di Sarawak.
Bahkan, semakin menghampiri hujung Syawal, semakin banyak rumah terbuka diadakan.
Baru-baru ini, tular isu berkaitan adab bertamu apabila terdapat individu menceritakan “isi rumah” yang dikunjunginya ketika berhari raya. Video tersebut tular dan mendapat kecaman warganet.
Amalan bertamu dan menziarahi antara satu sama lain ketika Hari Raya Aidilfitri seharusnya menjadi medium mengeratkan silaturahim.
Merai tetamu juga dianggap sebagai rezeki untuk umat Islam. Era moden ini, adab bertamu seharusnya tidak diketepikan sebagai budaya atau kebiasaan.
Konsep melayan tetamu dalam Islam juga dikaitkan dengan amalan yang amat digalakkan sehingga keimanan dan kemuliaan dapat dilihat melalui cara menerima dan melayan tetamu.
Hubungan sesama manusia itu sendiri dituntut dalam Islam selain hubungan dengan Allah.
Baik menerima tetamu atau bertamu, adab harus dijaga bagi memastikan ia tidak terkeluar dari landangan asal untuk mengeratkan silaturahim.
Keindahan amalan bertamu dan menziarahi jangan dirosakkan oleh adab seseorang.
Lebih-lebih lagi mendedahkan aib isi rumah yang dikunjungi.
Mari kita bersama-sama rujuk kembali adab bertamu yang menjadi salah satu sukatan pelajaran ketika di sekolah menengah.
BUTA DAN BISU
Mungkin anda pernah mendengar; “kalau masuk rumah seseorang jadi buta, kemudian keluar jadi bisu”.
Ia membawa maksud ringkas iaitu jaga pandangan daripada melihat aib di dalam rumah ketika bertamu dan apabila keluar, jangan pula ceritakan aib rumah tersebut.
Bagaimanapun, segelintir pihak bebal memahami adab bertamu tersebut.
Bahkan, ada keghairahan untuk menceritakan aib itu secara umum.
Mungkin terdapat kelemahan pihak tuan rumah dari segi hidangan atau sebagainya, seelok-eloknya dinyatakan terus kepada tuan rumah agar perkara tersebut tidak menjadi aib untuk tetamu seterusnya.
Entah apakah yang difikirkan sehingga sanggup memalukan orang lain.
Bahkan ada dalam kalangan warganet yang takut mengundang tetamu ke rumah kerana takut dikritik atau menjadi bahan bualan.
BUDI
Sebagai tetamu, kita harus mengikut adab bertamu, elak bertandang pada waktu yang biasanya orang belum bersedia ataupun masa untuk berehat atau tidur.
Sebaiknya, era digital ini hubungi terlebih dahulu tuan rumah supaya mereka lebih bersedia menerima tetamu.
Antara adab bertamu umum yang seharusnya menjadi kelaziman ialah makan dengan segera jika dihidangkan makanan dan minuman.
Tidak meminta-minta hidangan atau perkara yang boleh menyusahkan tuan rumah.
Jika diundang, beritahu terlebih dahulu kepada tuan rumah sekiranya hadir dengan beberapa individu lain.
Jauhi perkara atau perbuatan yang boleh menyusahkan dan menyakiti tuan rumah.
Sunat bagi tetamu mendoakan kebaikan buat tuan rumah.
Tetamu juga seharusnya tidak duduk terlalu lama sehingga membuat tuan rumah tidak selesa atau mengganggu perancangan awal tuan rumah.
Sebagai tuan rumah, mungkin mereka terasa hati apabila hidangan tidak dijamah oleh tetamu.
Sama ada terlalu kenyang atau sibuk menatal telefon pintar, jamahlah sedikit makanan yang dihidangkan demi menjaga hati tuan rumah.
Walaupun hidangan itu tidak menepati selera kita, jangan sama sekali bercakap tentang makanan tersebut tidak sedap atau sebagainya yang mungkin boleh mengguris hati tuan rumah.
Masih tidak terlambat kita menghidupkan amalan ziarah dan mengunjungi Hari Raya bagi mengeratkan silaturahim.
Jangan lupa untuk tanam budaya dan adab bertamu dalam diri anak-anak anda supaya menjadi kebiasaan.
Budaya bertamu generasi Z juga mula berubah dengan kehadiran media sosial.
Mereka lebih memilih rumah yang ingin dikunjungi, bahkan ada yang memilih tetamu.




