ARTIKEL

Omar Mahli merakamkan gambar kenangan bersama kumpulan nasyid dari Sekolah Kebangsaan Gersik, Johan MQNKSS 2026 kategori sekolah rendah yang akan mewakili Sarawak ke Peringkat Kebangsaan di Port Dickson, Negeri Sembilan pada 25 hingga 29 Jun ini.

Adab dan nilai jadi teras reformasi pendidikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Pembentukan adab dan nilai perlu terus menjadi teras dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, malah memiliki integriti serta jati diri yang kukuh.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli ketika Majlis Penutupan Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (MQNKSS) Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2026 di Dewan Baitulmal Sibu, apabila peserta diingatkan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian atau profesion yang bakal diceburi, sebaliknya pada nilai dan keperibadian yang dibawa apabila memegang amanah tersebut.

Menurutnya, tema MQNKSS tahun ini, “Adab dan Nilai, Nadi Reformasi Pendidikan”, amat bertepatan dengan hala tuju Reformasi Pendidikan Malaysia 2026-2035 yang memberi penekanan kepada pembangunan insan secara menyeluruh bagi menghadapi cabaran dunia masa depan.

Peserta dari Sarawak yang akan bertanding di Mahrajan al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah (MQNKSS) Peringkat Kebangsaan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Katanya, perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, automasi dan teknologi baharu telah mengubah cara manusia belajar, bekerja dan menjalani kehidupan, justeru Kurikulum Persekolahan 2027 dibangunkan dengan menyeimbangkan aspek ilmu, kemahiran, nilai, sahsiah serta kesejahteraan murid.

Beliau berkata, penguasaan teknologi semata-mata tidak mencukupi tanpa panduan nilai yang kukuh, kerana al-Quran berperanan membimbing generasi muda menggunakan ilmu dan teknologi dengan hikmah, amanah serta tanggungjawab.

Masa depan, katanya, bukan sahaja memerlukan individu yang pintar tetapi juga mempunyai pedoman hidup.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda pendidikan menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) bagi membangunkan modal insan dan bakat anak-anak negeri ini.

Beliau turut menegaskan bahawa aspirasi pembangunan Sarawak yang menjurus kepada kecerdasan buatan, ekonomi digital, tenaga hijau dan pembangunan bakat bertaraf dunia perlu diseimbangkan dengan pembentukan karakter, integriti dan nilai kemanusiaan agar kemajuan yang dicapai tidak menghakis jati diri masyarakat.

Menurutnya, Pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam menjayakan reformasi pendidikan dengan membentuk asas adab, nilai dan integriti dalam diri murid.

Selain melahirkan pelajar yang kompeten, kreatif dan inovatif, pendidikan tersebut memastikan segala keupayaan yang dimiliki dimanfaatkan untuk kebaikan serta dipandu oleh akhlak yang mulia.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada guru-guru Pendidikan Islam atas pengorbanan mereka dalam membimbing, membentuk akhlak dan menyemai nilai murni dalam jiwa anak-anak, selain mengingatkan peserta bahawa piala bukan ukuran mutlak kejayaan.

Sebaliknya, kejayaan sebenar adalah apabila mereka pulang daripada mahrajan sebagai insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Beliau berharap semua peserta membawa pulang pengalaman, pengajaran dan keyakinan untuk terus memperbaiki diri, sambil menegaskan bahawa pendidikan yang sebenar ialah usaha membantu setiap anak menjadi versi terbaik dirinya demi melahirkan keluarga, masyarakat, negeri dan negara yang lebih baik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU