ARTIKEL

Abang Johari bercakap ketika ditemui media selepas menyempurnakan SEVEA 2026.

ADB Teliti Peluang Sokong Pembiayaan Hijau Pembangunan Tanjung Embang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bank Pembangunan Asia (ADB) sedang meneliti peluang untuk menyediakan sokongan pembiayaan hijau bagi pembangunan Tanjung Embang, sekali gus mencerminkan keyakinan institusi kewangan antarabangsa dengan hala tuju ekonomi Sarawak.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan pengurusan tertinggi ADB dari Manila pada Selasa lepas (7 Julai).

Menurutnya, ADB berminat meneroka peluang untuk menyokong pembangunan Tanjung Embang menerusi pembiayaan hijau, khususnya bagi projek yang selaras dengan agenda tenaga bersih dan pembangunan mampan negeri ini.

“Saya menerima kunjungan daripada pengurusan tertinggi ADB dari Manila. Mereka datang untuk melihat peluang bagaimana mereka boleh membantu dari sudut sokongan kewangan, khususnya pembiayaan hijau bagi kita membangunkan Tanjung Embang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis Sarawak Energy Vendors Excellence Awards (SEVEA) 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC), pada Rabu (8 Julai).

Abang Johari berkata, selain ADB, beberapa institusi kewangan lain termasuk Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) serta bank dari Jepun turut menyatakan minat untuk menyokong pembangunan Sarawak berikutan keyakinan prospek sektor tenaga dan ekonomi masa depan negeri ini.

“Tanjung Embang akan dibangunkan sebagai hab strategik yang menggabungkan pelabuhan laut dan lapangan terbang bagi memperkukuh rangkaian logistik serta hubungan serantau dalam ASEAN.

“Pembangunan ini turut disokong inisiatif pendidikan tinggi percuma Sarawak yang diyakini mampu melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang strategik seperti semikonduktor bagi memenuhi keperluan industri masa depan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata ADB akan mengadakan libat urus lanjut dengan Setiausaha Kewangan Negeri (SFS) serta pemain industri untuk memperincikan cadangan pembangunan Tanjung Embang.

Pada masa yang sama, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan membangunkan dua turbin gas berkapasiti 500 megawatt setiap satu atau keseluruhan satu gigawatt di Tanjung Embang bagi menyediakan bekalan elektrik khusus kepada kawasan perindustrian di situ.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU