SIBU: Tindakan dua adik beradik menanam dua pokok ganja di halaman rumah mengundang padah apabila dicekup polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, suspek masing-masing lelaki, 55, dan wanita, 50, ditahan di rumah di Lorong Rambai, di sini kira-kira jam 12.15 pagi oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Sibu.
Ketika serbuan ke atas rumah terbabit, katanya kedua-dua suspek berada di rumah.
“Pemeriksaan pasukan polis menemui dua beg plastik hitam mengandungi dua anak pokok ganja dan satu lagi beg plastik hitam mengandungi tanah dan dedaun kering dipercayai dadah jenis ganja bernilai keseluruhan RM20,000,” katanya pada sidang media di IPD Sibu, hari ini.
Zulkipli mengatakan sebuah kereta jenis Honda yang berada di rumah terbabit bernilai RM80,000 turut disita.
Tambahnya lagi, ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod kes jenayah lampau.
“Selain kedua-dua suspek, polis juga sedang mengesan rakan sejenayah mereka yang masih bebas,” ujar beliau.
Menurut beliau, kedua-dua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 68 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan, tegas Zulkipli.






