LAWAS: Seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan polis di rumahnya di Merapok semalam, dipercayai terlibat dalam insiden khianat dengan api yang mengakibatkan dua kereta terbakar pada pagi yang sama.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, semasa serbuan polis merampas sebilah pedang, senapang patah, 10 butir peluru dan lapan kelongsong.
“Suspek yang juga adik ipar salah seorang mangsa ditangkap selepas melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati dia membakar kereta abang iparnya kerana tidak berpuas hati dengan teguran ahli keluarga, dan ujian air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis amphetamine,” katanya memetik laporan TVS hari ini.
Liong menambah kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam operasi berasingan di Jalan Punang, katanya, seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan pada jam 3.10 petang selepas polis merampas dua tiub berisi kristal disyaki syabu seberat 2.20 gram.
“Manakala seorang lagi lelaki tempatan berusia 31 tahun ditahan jam 3.30 petang di hadapan sebuah rumah selepas ujian air kencingnya positif amphetamine dan methamphetamine.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan kes mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.





