KUALA KANGSAR: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Kangsar Datuk Adly Shah Ahmad Tah bersama lapan daripada 11 cawangan bahagian itu mengumumkan keputusan untuk meletakkan semua jawatan dan keluar daripada parti pada sidang media di sini semalam.
Menurut Adly Shah, lapan cawangan berkenaan ialah Bunga Raya, Ulu Kenas, Sayong Lembah, Bendang Kering, Senggang, Jerlun, Bukit Residen dan Lempor.
Beliau berkata keputusan itu mengambil kira perjuangan politik serta masa depan masyarakat di Kuala Kangsar yang menurutnya perlu diteruskan melalui wadah yang lebih diyakini; pihaknya turut melihat Bersatu ketika ini gagal mengembangkan parti seperti yang diharapkan, selain keahlian dan sokongan terhadap parti semakin mengecil.
Menurutnya, selepas keputusan itu dibuat, Bersatu Bahagian Kuala Kangsar hanya akan diwakili tiga daripada 11 cawangan, manakala Setiausaha Bahagian Bersatu Kuala Kangsar Abd Hadi Sabri turut memutuskan untuk meletakkan jawatan dan lebih 100 anggota Bersatu Kuala Kangsar hadir hari ini bagi menyatakan pendirian yang sama.
Adly Shah berkata pihaknya berpandangan keadaan itu akan memberi kesan besar terhadap kekuatan serta relevansi Bersatu dalam perjuangan politik di Kuala Kangsar seperti dilapor Bernama.



