KOTA SAMARAHAN: Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia (ADTEC JTM) Kampus Kota Samarahan, memeterai lebih 20 Memorandum Persefahaman (MoU), Memorandum Kerjasama (MoC) dan Surat Hasrat (LoI) dengan pelbagai badan kerajaan serta swasta.
ADUN Stakan, Datuk Hamzah Ibrahim berkata, usaha membina kerjasama strategik itu membuktikan ADTEC JTM Kota Samarahan sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan semasa.

“Saya ingin mengiktiraf usaha kampus ini dalam membina kerjasama strategik dengan pelbagai pihak. Lebih 20 MoU dan MoC telah dimeterai dengan syarikat swasta, universiti tempatan serta agensi kerajaan membuktikan bahawa ADTEC JTM Kota Samarahan sentiasa bergerak seiring dengan perkembangan semasa.
“Hubungan erat dengan industri adalah kunci kejayaan TVET. Melalui kerjasama ini, pelajar bukan sahaja mendapat latihan praktikal, malah didedahkan kepada teknologi terkini dan standard kerja yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Karnival Sambutan Jubli Perak ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan di Dewan Auditorium ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah ADTEC JTM Kampus Kota Samarahan, Ts. Azkar-Albar Abu Bakar berkata, menerusi kerjasama itu pelajar akan lebih terdedah kepada teknologi terkini di samping membuka peluang kepada mereka untuk meningkatkan kepakaran dan memperoleh laluan jelas untuk menempatkan diri di pasaran kerja.
“Kita percaya TVET tanpa hubungan industri ibarat kapal tanpa kompas, dan kerana itulah kita sentiasa memastikan pembelajaran di kampus ini relevan serta selari dengan kehendak industri,” katanya.
Terdahulu, majlis turut menyaksikan Hamzah menjadi saksi penyerahan sijil kerjasama ADTEC JTM Samarahan kepada lapan agensi dan syarikat.
Antaranya termasuk TMR Technology Sdn. Bhd., Mutiara Technology Centre Sdn. Bhd., Gabungan Trafik Sdn. Bhd. dan Buruuj Engineering Sdn. Bhd.
Selain itu, turut terlibat Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, DJ Auto Car Wash Services, Powerbest Electrical Sdn. Bhd. dan Dom EEB Joint Venture International Sdn. Bhd.
Mengenai Karnival Jubli Perak ADTEC JTM Kampus Samarahan, program berkenaan telah berlangsung selama dua minggu sejak 20 September lalu.
Program tersebut dimeriahkan dengan pertandingan kreativiti dan inovasi IMPACT 2025, pameran kemahiran daripada pelbagai agensi, slot Ceramah MyNext & SIP serta Academia Symposium TalentCorp, selain Karnival Kerjaya MYFutureJobs anjuran PERKESO.
Turut diadakan aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan warga kampus dan masyarakat sekitar.
Sambutan itu bukan sahaja diadakan sempena ulang tahun ke-25 kampus, malah sebagai wadah untuk mengeratkan silaturahim, mengiktiraf pencapaian lalu dan menyuntik semangat baharu untuk masa hadapan.






