BINTULU : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee memberi jaminan untuk terus memperjuangkan kebajikan dan keselesaan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park susulan pelbagai aduan yang diterima.
Beliau berkata, pihaknya telah turun padang bagi mendengar keluh kesah serta meneliti permasalahan yang dihadapi penduduk secara bertaraf muka.
Menurutnya, pelbagai isu dan pandangan dibangkitkan merangkumi kemudahan serta kesejahteraan hidup di kawasan perumahan tersebut.
“Setiap aduan yang disuarakan penduduk dipandang serius dan akan dibawa ke pihak atasan dengan kadar segera supaya tindakan susulan dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kebajikan serta keselesaan mereka,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Sebagai langkah awal, beliau telah menghubungi Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) Abdul Yakub Arbi bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung isu di kawasan terbabit.
Jelasnya, kerjasama dengan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dicapai demi kesejahteraan penduduk PPR Bandaria Park.
“Insya-Allah, saya akan terus memantau perkembangan perkara ini dan memastikan suara rakyat terus diberi perhatian,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus mendekati rakyat serta memastikan setiap permasalahan masyarakat setempat mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan.



