BALINGIAN: Tema Malaysia Madani: Rakyat Disantuni amat signifikan kerana mencerminkan komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam membina masyarakat yang penyayang dan inklusif.
ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi berkata, konsep MADANI ini juga selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.
“Bagi Sarawak, konsep rakyat disantuni ini amat bermakna kerana ia menjamin tiada wilayah atau komuniti akan terpinggir dalam arus pembangunan negara.
“Kerajaan Sarawak bersama Kerajaan Persekutuan akan sentiasa memastikan hak autonomi Sarawak dipelihara sambil meningkatkan kualiti hidup rakyat di semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025, di Dewan Masyarakat Kuala Balingian, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Yakub turut menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk bersama-sama menyertai kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang.
Ujarnya, inilah peluang terbaik untuk kita menzahirkan rasa cinta dan kesetiaan kepada tanah air melalui kibaran Jalur Gemilang yang megah di setiap rumah.
“Dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah, kita bukan sahaja memeriahkan suasana Hari Kebangsaan, malah memperkukuh ikatan perpaduan sebagai rakyat Malaysia.
“Ia melambangkan semangat kebangsaan dan kesatuan kita dalam menghargai kemerdekaan negara.
“Kita perlu ingat bahawa setiap langkah kecil yang diambil untuk menunjukkan cinta kepada negara akan memberi impak besar kepada generasi muda,” jelasnya.

Dalam pada itu, Yakub menegaskan bahawa, kita perlu memastikan Malaysia, khususnya Sarawak untuk terus berdaya saing di persada dunia.
Terdahulu, KMJG 2025 memulakan perjalanan menjelajah seluruh Sarawak bermula 2 Ogos lalu, melibatkan 22 titik semak, dari Lundu hingga Lawas.
Jarak pergerakan Konvoi KMJG 2025 adalah sekitar 1,810 kilometer.
Manakala, Kuala Balingian merupakan lokasi ke-17 Fasa 2 KMJG pada kali ini.








