KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kalaka Mohamad Duri mengharapkan kesemua projek pembangunan di kawasannya yang diluluskan serta ditender, dipercepat pembinaan.
Menurutnya, semua isu berkait kemudahan asas harus diselesaikan termasuk di Kalaka.
“Ia termasuk Projek Pembinaan Jalan Kupang-Bajau yang diperuntukkan RM113 juta, selain Jalan Paloh-Perpat sepanjang 14 kilometer, rakyat di kawasan tersebut menunggu terlalu lama.
“Mohon disegerakan juga pelaksanaan tender bagi jambatan Sungai Krian yang menyeberangi Tanjung Kalimah, menghubungkan Saratok dengan Kampung Kupang selain Rumah Panjang Selambong, Anau, Ambang Entebu, Ganing dan Rabiah Tanjung Ara,” katanya
Beliau berkata ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (2025) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Mohamad turut membawa isu hakisan sungai yang berlaku di tebingan Kampung Kupang Hilir.
“Saya meminta agensi berkaitan membuat siasatan di tapak dan memohon mereka mencari penyelesaian terbaik.
“Ini memandangkan kawasan hakisan tersebut digunakan penduduk sebagai jalan utama dan terlalu dekat dengan rumah kediaman,” tambahnya.
Menyentuh isu bekalan elektrik, beliau menyatakan ada cadangan membina satu talian penghantaran terus 33 kiloVolt (kV) ke Saratok dari Sub-Stesen Serudit.
“Kedua, membina Sub-Stesen 33/433 kV di Roban. Terima kasih juga kepada Premier Sarawak kerana meluluskan Projek Membina Talian 33 kV dari Kampung Kaba ke Simpang Nyabor di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Ia kelak menyelamatkan tujuh kampung termasuk Perpat, Kaba, Paloh, selaih tujuh rumah panjang di kawasan Lubok Nibong dan Kali, Kaba,” tambahnya.



