BINTANGOR: Kehadiran ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, memeriahkan sambutan Gawai Antu di Rumah Serit, Tanah Putih, menjadi simbol semangat perpaduan, muhibah dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat rumah panjang di kawasan Meradong.
Sambutan yang berlangsung penuh adat dan tradisi itu melibatkan tujuh pintu rumah panjang, mencerminkan keutuhan warisan budaya masyarakat Iban yang masih dipelihara dengan penuh penghormatan sehingga hari ini.
Kuong Hiing berkata, Gawai Antu merupakan perayaan yang amat bermakna kerana ia bukan sahaja bertujuan memperingati roh nenek moyang, malah berperanan dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memperkukuh perpaduan dalam komuniti rumah panjang.
“Tradisi dan adat ini mencerminkan identiti serta jati diri masyarakat Iban yang menjadi aset budaya bernilai dan wajar dipelihara serta diwariskan kepada generasi muda agar tidak ditelan arus pemodenan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Beliau menegaskan perayaan kebudayaan seperti ini menjadi platform penting untuk mempereratkan silaturahim, selain mengekalkan nilai adat dan tradisi yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat berbilang latar belakang.
Sehubungan itu, Kuong Hiing menyatakan komitmennya untuk terus menyokong penganjuran program kemasyarakatan dan kebudayaan di kawasan Meradong sejajar dengan usaha memperkukuh perpaduan rakyat serta keharmonian antara kaum.





