ARTIKEL

ADUN Meradong, Ding Kuong Hiing ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini. | Foto: UKAS

ADUN Meradong seru langkah serius bendung penyalahgunaan dadah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: ADUN Meradong, Ding Kuong Hiing, berharap sebuah unit khas narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong dapat ditubuhkan bagi membanteras penyalahgunaan dadah dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, penubuhan itu penting berikutan kes berkaitan dadah semakin berleluasa di daerah berkenaan.

“Tahun ini, beberapa belia telah ditahan pihak polis menerusi operasi khas pencegahan dadah (Ops Tapis Khas) dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Situasi ini membimbangkan kerana ia menunjukkan bahawa penyalahgunaan dadah turut menular dalam kalangan generasi muda. Ia memberi kesan negatif kepada masyarakat, menjejaskan keselamatan komuniti dan mengancam kesejahteraan keluarga,” katanya.

Beliau menambah bahawa langkah tersebut penting bagi mengawal dan menurunkan indeks dadah daerah itu serta mengelakkan generasi muda daripada terus terjebak dalam ketagihan.

Ding turut berharap pihak berkuasa dapat menambah tenaga kerja di IPD Meradong bagi membanteras kegiatan perjudian haram di kawasan berkenaan.

“Saya juga memuji usaha Ketua Polis Daerah (KPD) baharu kita yang melaksanakan banyak operasi membanteras narkotik dan jenayah lain di Meradong bagi memastikan kita hidup dalam komuniti yang aman, bertoleransi dan harmoni,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada persidangan itu, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, termasuk mereka yang mempunyai autisme.

Katanya, ramai keluarga berdepan kesukaran mendapatkan intervensi awal, terapi dan panduan disebabkan perkhidmatan yang berpecah antara pelbagai agensi.

Justeru, beliau mencadangkan penubuhan pusat sehenti yang diterajui kerajaan, yang menawarkan saringan, diagnosis, terapi, kaunseling, sokongan pendidikan dan latihan keibubapaan di bawah satu bumbung.

“Penyelarasan perkhidmatan di satu tempat dapat menjimatkan masa keluarga, mengurangkan beban kewangan serta menyediakan penjagaan yang lebih efisien dan terselaras,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU