KUCHING: Pembinaan semula rumah bagi mangsa kebakaran di beberapa kawasan pedalaman diharap dapat dipercepat demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk terjejas.
ADUN Telang Usan, Datuk Dennis Ngau berkata, antara kawasan terlibat termasuklah di Kampung Long Karangan, Long Bangan, Long Belok, Long Loyang, Long Senyai, Long Luteng, Long Watt, Ba Abang dan Long San.
“Sebahagian keluarga masih menumpang di rumah saudara-mara serta tinggal di penempatan sementara sejak kejadian kebakaran berlaku lebih tiga tahun lalu.
“Keutamaan kita ialah memastikan mereka dapat kembali mempunyai rumah yang selesa dan selamat. Rumah bukan sahaja tempat berteduh, tetapi asas kehidupan keluarga di pedalaman,” katanya.
Beliau berkata dalam usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.
Beliau juga percaya kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar, dan berharap pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepat melalui tindakan susulan di peringkat pelaksana.
Dalam pada itu, Dennis turut menyambut baik pelaksanaan projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) yang diluluskan di beberapa kawasan pedalaman di Telang Usan.



