MUKAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine terus komited memastikan pembangunan luar bandar diperkasa dengan mengadakan siri lawatan ke kawasan pedalaman Ulu Baoh, Ulu Sebakong dan Dijih, semalam.
Lawatan yang bermula pada jam 7.30 pagi itu bertujuan meninjau pelaksanaan projek, penyerahan projek siap serta menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap projek yang masih dalam proses pembinaan.


Bagi Projek Bina Baru Dewan Serbaguna Ulu Baoh bernilai RM400,000 yang diluluskan melalui peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian telah pun siap.
“Projek yang sepatutnya siap pada 2023 itu tertangguh akibat masalah kesesuaian tapak serta ketiadaan kontraktor yang sanggup menyertai cabutan undi disebabkan lokasinya yang jauh.
“Namun, dengan usaha sama Pejabat Residen Mukah, Pejabat Daerah Dalat dan Jabatan Kerja Raya (JKR), kita berjaya merealisasikan pembinaannya demi kemudahan penduduk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut meninjau Projek Naik Taraf Gelanggang Serbaguna SK Baoh Ulu bernilai RM150,000 yang sedang menunggu proses cabutan undi kontraktor.
Jelasnya, skop kerja merangkumi penurapan semula permukaan, pemasangan ‘gutter’, pelebaran gelanggang dan bumbung selain beberapa komponen naik taraf lain.
Beliau turut memaklumkan bahawa pentas konkrit sekolah yang sebelum ini roboh pada Jun telah siap dibaik pulih melalui gotong-royong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Baoh Ulu dengan kos RM7,000.

Seterusnya, Royston meninjau Projek Bina Baru Jambatan Besi di Rumah Remy anak Buda, Nanga Sebemban bernilai RM450,000 di bawah Program Kontraktor Berdaya Saing (PKBS).
Jambatan tersebut dijangka memberi akses lebih selamat dan cepat kepada penduduk kawasan Ulu Sebakong menuju Lubok Bemban, Klinik Nanga Taroh, sekolah berhampiran serta laluan alternatif ke Dijih dan Selangau.
Beliau juga meninjau projek naik taraf jalan akses sepanjang 11 kilometer dari Dijih ke Nanga Sebemban yang dilaksanakan secara berfasa melalui peruntukan Jalan Perhubungan Desa (JPD) dengan kos maksimum RM500,000 setiap fasa.
Royston turut meninjau Projek Naik Taraf Jalan dan Jeti bernilai RM100,000 yang diluluskan di bawah RTP 2025.
Pada masa sama, beliau mengambil peluang bertemu penduduk dan mendengar luahan mereka yang masih berdepan masalah ketiadaan bekalan air terawat dan elektrik selain ancaman hakisan.
Sebanyak RM1.3 juta telah diluluskan bagi kerja pembendungan hakisan di belakang rumah panjang tersebut melalui JKR Mukah.
Beliau turut menjelaskan bahawa lawatan tersebut dilakukan tanpa makluman awal bagi mengelakkan penduduk terbeban menyediakan persiapan khusus.
“Saya tidak mahu penduduk membuat persiapan yang memerlukan kos dan komitmen kerana paling penting, projek berjalan mengikut perancangan dan memberi manfaat kepada rakyat,” tambahnya.




