KUCHING: Sarawak AeroBig Day 2026 melabuhkan tirai di Kuching hari ini dengan penyertaan keseluruhan 4,372 peserta di lima lokasi, sekali gus membuktikan sambutan yang menggalakkan dalam kalangan masyarakat terhadap aktiviti kecergasan, perpaduan komuniti dan kebajikan.
Menurut kenyataan penganjur, edisi Kuching yang berlangsung di Pustaka Negeri Sarawak itu turut merekodkan 1,163 peserta.
Jumlah itu melengkapkan penyertaan di empat lokasi lain, iaitu Miri dengan 1,460 peserta pada 27 September, Bintulu (718 peserta) pada 4 Oktober, Sibu (608 peserta) pada 11 Oktober dan Sri Aman (423 peserta) pada 18 Oktober.
“Secara keseluruhan, lima lokasi ini berjaya menghimpunkan 4,372 peserta dan mencatatkan satu lagi pencapaian bermakna bagi Sarawak AeroBig Day serta membuktikan sokongan yang semakin meningkat terhadap kecergasan, perpaduan komuniti dan sumbangan sosial di seluruh negeri,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, penganjuran Sarawak AeroBig Day 2026 di lokasi berkenaan turut menghimpunkan elemen kecergasan, kesejahteraan, komuniti dan kebajikan, di samping meneruskan usaha memperkasa kanak-kanak serta komuniti yang kurang mendapat perhatian dan memerlukan sokongan.
Edisi Kuching yang menjadi kemuncak siri penganjuran tahun ini menghimpunkan individu, keluarga dan anggota komuniti bagi mempromosikan gaya hidup sihat, memperkukuh hubungan dalam kalangan komuniti serta menggalakkan sumbangan sosial yang bermakna.
“Sebagai lokasi terakhir, Kuching meraikan usaha kolektif peserta, keluarga, rakan kerjasama, penaja, sukarelawan dan penyokong dari seluruh Sarawak.
“Bermula di Miri, diikuti Bintulu, Sibu, Sri Aman dan berakhir di Kuching, program ini membuktikan bahawa aktiviti kecergasan mampu menyatukan masyarakat, selain membuka ruang untuk membantu komuniti yang memerlukan,” ujarnya.
Dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Bantuan Komuniti Terpinggir Sarawak (Bantu Sarawak) yang diasaskan Jeffrey Ngui Voon Chiang, Sarawak AeroBig Day terus menjadikan penyertaan komuniti sebagai platform bermakna yang mempromosikan kesihatan, keterangkuman dan sumbangan sosial, sekali gus menutup perjalanan penganjuran di seluruh Sarawak bagi tahun 2026 dengan penuh kenangan.
Sarawak AeroBig Day ialah gerakan kecergasan amal di seluruh Sarawak yang dianjurkan Bantu Sarawak dengan matlamat menggalakkan gaya hidup sihat sambil membantu memperkasa golongan kurang berkemampuan.
Gerakan ini mula dilancarkan di Miri pada 2023 dan terus berkembang dari segi penyertaan serta jangkauan komuniti, di samping menyokong pelbagai inisiatif kemasyarakatan termasuk Projek Noah’s Ark di bawah Bantu Sarawak.
Sejak awal penubuhannya, Sarawak AeroBig Day berkembang daripada acara kecergasan setempat menjadi gerakan di seluruh negeri, memperluas jangkauan ke pelbagai komuniti sambil menghubungkan elemen kecergasan, kesejahteraan, penglibatan belia, penyertaan korporat dan sumbangan sosial.




