ARTIKEL

Kilat Boy tekad kekalkan momentum selepas 15 pingat di Sibu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Akademi KB Boxeo mencipta pencapaian membanggakan apabila membawa pulang 15 pingat, termasuk 11 emas dan empat perak dalam Kejohanan Tinju Amatur JAB Boxing 101 yang berlangsung di Dewan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC), Sibu, pada 23 hingga 24 Oktober lalu.

Kejayaan tersebut menjadi pencapaian penting bagi akademi yang diasaskan petinju profesional negara, Daeloniel Mcdelon Bong atau Muhammad Asyraf Abdullah, yang lebih dikenali sebagai Kilat Boy, sekali gus membuktikan keberkesanan program pembangunan atlet muda yang dilaksanakan secara berterusan.

Ketua Jurulatih KB Boxeo, Kilat Boy, berkata kutipan pingat emas yang banyak itu hasil latihan intensif yang sistematik, selain kerjasama erat antara atlet, ibu bapa, barisan pengurusan dan penaja yang sentiasa komited terhadap pembangunan pasukan.

UKIR MEMORI: Kilat Boy merakamkan gambar kenangan bersama barisan pengurusan serta atlet Akademi KB Boxeo.

“Strategi utama kami ialah mengutamakan latihan intensif yang teratur dari semasa ke semasa, selain memastikan setiap atlet mendapat sokongan dan kerjasama sepenuhnya daripada semua pihak yang terlibat.

“Komitmen atlet, ibu bapa, pasukan pengurusan dan penaja memainkan peranan sangat penting sehingga kami berjaya memperoleh keputusan yang membanggakan dalam kejohanan kali ini,” katanya kepada Suara Sarawak, hari ini.

Menurutnya, persiapan menghadapi kejohanan anjuran Persatuan Tinju Bahagian Sibu (PTBS) itu bukan sahaja tertumpu pada latihan fizikal dan teknikal, malah merangkumi pengurusan keperluan atlet supaya mereka dapat memberi tumpuan sepenuhnya ketika bertanding.

Beliau berkata, pihak akademi memberi penekanan kepada pengurusan pasukan yang tersusun bagi memastikan setiap penyertaan kejohanan dapat dilaksanakan dengan lancar, sekali gus menyediakan asas kukuh untuk menyertai pertandingan lebih besar pada masa hadapan.

“Bagi saya, sekiranya pengurusan atlet dan pasukan dilaksanakan dengan teratur, insya-Allah akademi ini akan terus berkembang dan mampu pergi lebih jauh.

“Kami juga sudah menguruskan segala keperluan pasukan untuk menyertai kejohanan ini dan mahu memastikan persiapan yang lebih baik bagi menghadapi cabaran lebih besar selepas ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kilat Boy menegaskan bahawa pencapaian tersebut tidak menjadikan pasukannya berpuas hati, sebaliknya menjadi dorongan untuk mempertingkat latihan dan mengekalkan prestasi atlet menjelang kejohanan seterusnya.

“Selepas kembali daripada kejohanan ini, saya akan terus melatih atlet untuk persiapan pertandingan akan datang. Kita mahu mengekalkan momentum yang baik ini supaya mereka terus menunjukkan peningkatan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ibu bapa, atlet, barisan pengurusan pasukan KB diketuai oleh Mohd Awet Luqman dan Azreen Octavius serta penaja utama kami, iaitu I-Cafe Seafood, Halimah Batik & Songket, Urban Tents, Damai Escape Park, Toko Daging dan HyperVision atas sokongan padu yang diberikan,” katanya.

Kejayaan mengutip 11 emas dan empat perak dalam kejohanan dua hari itu turut menjadi suntikan semangat kepada Akademi KB Boxeo untuk meneruskan usaha pembangunan atlet tinju serta mempersiapkan pasukan menghadapi pertandingan pada peringkat lebih tinggi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU