KUCHING: Perlumbaan utama Grand Prix Motorsikal (MotoGP) Australia 2026 di Litar Phillip Island dibatalkan hari ini selepas jarak penglihatan terhad akibat cuaca buruk menyebabkan helikopter perubatan tidak dapat beroperasi dengan selamat bagi menghadapi sebarang kecemasan.
Keputusan pembatalan diumumkan sekitar jam 12.40 tengah hari waktu Malaysia selepas penganjur beberapa kali menangguhkan perlumbaan yang pada asalnya dijadual bermula jam 11 pagi, dengan harapan keadaan cuaca kembali pulih.
Menurut kenyataan rasmi MotoGP, keputusan tersebut terpaksa dibuat kerana operasi helikopter perubatan merupakan antara keperluan keselamatan utama bagi membolehkan perlumbaan diteruskan.
“Disebabkan jarak penglihatan terhad yang menjejaskan operasi helikopter perubatan pada Grand Prix Australia, perlumbaan utama MotoGP terpaksa dibatalkan,” menurut kenyataan berkenaan, hari ini.
Pembatalan itu dibuat meskipun penganjur sebelum ini mempertimbangkan penjadualan semula perlumbaan pada jam 1.30 tengah hari waktu Malaysia, namun keadaan cuaca tidak memberikan jaminan keselamatan yang diperlukan.
Sebelum keputusan muktamad diumumkan, sesi pemanas badan MotoGP serta perlumbaan kategori Moto3 dan Moto2 turut dibatalkan akibat keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.
Pengarah Perlumbaan MotoGP, Graham Webber, menjelaskan, keadaan cuaca buruk di Phillip Island dan Melbourne menyebabkan helikopter perubatan tidak dapat beroperasi dengan selamat, sekali gus menghalang perlumbaan diteruskan.
“Helikopter perubatan memerlukan keadaan cuaca yang membolehkan penerbangan dilakukan dalam tempoh sekitar 60 minit di kedua-dua lokasi, iaitu Phillip Island dan Melbourne, sebelum perlumbaan boleh dimulakan.
“Atas faktor keselamatan, kami perlu memastikan pelumba dapat dibawa ke hospital dengan segera sekiranya berlaku kecemasan.
“Di sesetengah litar, pemindahan boleh dilakukan menggunakan ambulans melalui jalan raya, tetapi di Phillip Island, perjalanan ke hospital mengambil masa lebih 45 minit. Oleh itu, kami terpaksa bergantung kepada helikopter perubatan,” katanya.
Keadaan hujan lebat dan awan tebal di kawasan litar serta sepanjang laluan penerbangan ke Melbourne menyebabkan operasi pemindahan udara tidak dapat dijamin, sekali gus memaksa penganjur mengutamakan keselamatan berbanding meneruskan perlumbaan.
Pembatalan tersebut turut mengecewakan ribuan peminat kerana Grand Prix Australia 2026 merupakan edisi terakhir MotoGP yang dijadual berlangsung di Phillip Island sebelum perlumbaan berkenaan berpindah ke Adelaide mulai 2027.
Sebagai penghormatan terakhir kepada litar bersejarah itu, penganjur mengatur sesi pusingan perpisahan membabitkan pelumba yang mengikuti kereta keselamatan sebelum berhenti di laluan lurus utama untuk memberikan penghargaan kepada penyokong.
Laluan keluar dari kawasan pit dijadual dibuka pada jam 12.45 tengah hari waktu Malaysia bagi membolehkan sesi berkenaan dilaksanakan meskipun perlumbaan utama tidak dapat diteruskan.





