ARTIKEL

Miri sasar tuan rumah kejohanan pickleball antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Sebuah bangunan baharu yang menempatkan 16 gelanggang pickleball di Senadin dijangka siap tahun depan, sekali gus membuka peluang kepada Miri untuk menjadi tuan rumah kejohanan sukan berkenaan di peringkat antarabangsa.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, bangunan yang sedang dibina bersebelahan Paragon Pickleball Sports Centre itu akan melengkapkan lapan gelanggang sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhannya 24 gelanggang di kawasan berkenaan.

Menurutnya, penambahan kemudahan tersebut diharap dapat menyokong usaha menjadikan Miri sebagai lokasi penganjuran kejohanan pickleball bertaraf antarabangsa.

“Apabila 16 gelanggang baharu itu siap dan digabungkan dengan lapan gelanggang sedia ada, kita boleh menetapkan sasaran untuk menganjurkan kejohanan pickleball bertaraf antarabangsa di Miri,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kejohanan Golden Masters Pickleball Challenge Powered by NP East 2026 di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Lee menggalakkan pemain supaya mempergiat latihan dan membuat persediaan bagi menghadapi lebih banyak kejohanan yang diharapkan dapat dianjurkan di Miri pada masa hadapan.

Beliau turut berharap kejohanan sulung yang berlangsung selama dua hari itu menjadi titik permulaan kepada penganjuran lebih banyak pertandingan seumpamanya, termasuk di peringkat antarabangsa.

“Penganjuran kejohanan tersebut memperlihatkan komitmen tinggi pihak penganjur, khususnya jawatankuasa teknikal yang bekerja siang dan malam bagi memastikan kelancaran pertandingan,” katanya.

Lee turut merakamkan penghargaan kepada penganjur, petugas teknikal, pemain dan penaja atas sokongan serta kerjasama mereka dalam menjayakan kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Lee berkata, pickleball bukan sekadar sukan yang menawarkan persaingan, malah menjadi medium untuk mengeratkan persahabatan dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Katanya, kesibukan bekerja dan tanggungjawab terhadap keluarga tidak seharusnya menghalang masyarakat daripada meluangkan masa untuk melakukan aktiviti fizikal.

“Perkara paling penting dalam mana-mana pertandingan ialah peluang untuk menjalin persahabatan. Walaupun kita sibuk dengan pekerjaan, keluarga, anak-anak dan pelbagai tanggungjawab lain, kita tetap mahu meluangkan masa untuk menyertai sukan ini,” katanya.

Beliau berharap perkembangan sukan pickleball di Miri terus mendapat sambutan masyarakat, sekali gus membuka ruang kepada penganjuran lebih banyak kejohanan pada masa hadapan.

Untuk rekod, Paragon Pickleball Sports Centre di Desa Senadin mempunyai lapan gelanggang tertutup yang dilengkapi tempat duduk penonton, bilik persalinan dan kemudahan mandi.

Pusat sukan berkenaan dirasmikan oleh Lee pada 17 Januari lalu selepas beroperasi kira-kira 10 bulan serta menganjurkan lebih 12 kejohanan dan pelbagai aktiviti sukan.

Pada Oktober 2025, Lee turut menyuarakan hasrat untuk memperluas penganjuran kejohanan pickleball di Miri bagi menggalakkan lebih ramai penduduk menyertai sukan tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Sematan berpotensi jadi destinasi memancing sukan

SEMATAN: Sematan mampu muncul sebagai destinasi memancing sukan, dengan tukun tiruan dan perhubungan udara yang lebih baik menawarkan peluang baharu untuk memperkukuh sektor pelancongan pesisir