BINTULU: Kelab Pekicau Jepak berharap memperoleh peruntukan dana daripada wakil rakyat setempat bagi membolehkan penganjuran Pertandingan Seni Suara dan Gaya Burung Berkicau diperluas, sekali gus menarik lebih ramai peminat dari seluruh Sarawak termasuk Brunei Darussalam dan Indonesia.
Pengerusi Kelab Pekicau Jepak, Japar Laili berkata, sokongan kewangan itu penting bagi membolehkan pertandingan berkenaan dianjurkan pada skala lebih besar, selain meningkatkan penyertaan peserta dan memeriahkan aktiviti komuniti.
Menurutnya, kelab itu merancang menganjurkan pertandingan berkenaan tiga kali setahun sebagai usaha berterusan untuk mengembangkan minat terhadap burung berkicau, di samping membuka ruang kepada lebih ramai belia menyertai aktiviti berkenaan.
“Kami berharap mendapat sokongan dana daripada wakil rakyat supaya pertandingan ini dapat dianjurkan dengan lebih besar dan menarik penyertaan lebih ramai peserta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Seni Suara dan Gaya Berkicau Piala YB Datuk Seri Tiong King Sing Edisi Kedua di Arena Petanque Jepak, di sini, Ahad lalu.

Piala YB Datuk Seri Tiong King Sing Edisi Kedua.
Japar berkata pertandingan itu bukan sekadar medan menguji keistimewaan seni suara dan gaya burung berkicau, malah platform menghimpunkan peminat, berkongsi pengalaman serta mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli kelab dan komuniti.
Katanya, penganjuran aktiviti sedemikian juga berperanan menggalakkan interaksi sosial dan memupuk semangat kebersamaan melalui perkongsian minat yang sama.
Beliau berkata penyertaan belia penting bagi memastikan minat terhadap burung berkicau terus berkembang dan diwarisi generasi akan datang.
Selain menyertai pertandingan, ahli kelab turut aktif dalam aktiviti pertukaran burung dan pembiakan bagi menambah pengetahuan serta meningkatkan kualiti burung peliharaan masing-masing.
Japar berkata jika perancangan menganjurkan pertandingan tiga kali setahun dapat direalisasikan dengan sokongan dana, acara itu berpotensi berkembang menjadi platform yang lebih besar untuk menghimpunkan peminat burung berkicau dari pelbagai kawasan di Sarawak termasuk Brunei Darussalam dan Indonesia.
Beliau berharap kerjasama antara kelab, wakil rakyat dan komuniti dapat membantu memastikan aktiviti berkenaan terus berkembang serta menyediakan lebih banyak peluang kepada peminat untuk berkumpul, bertukar pengalaman dan mengembangkan hobi mereka.
Edisi Kedua Pertandingan Seni Suara dan Gaya Berkicau Piala YB Datuk Seri Tiong King Sing mendapat penyertaan kelab peminat burung pekicau dari Kuching, Miri, Samarahan, Asajaya, Sibu dan Balingian, selain Bintulu.





