BINTULU: Minat terhadap burung berkicau bukan sekadar hobi, malah mampu menjadi medium menyatukan masyarakat, merapatkan hubungan komuniti dan memupuk semangat perpaduan tanpa mengira latar belakang.
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Bintulu, Steven Kong Kai Seng, berkata aktiviti berasaskan minat bersama sebegitu memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman dan mengeratkan silaturahim dalam suasana harmoni.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pertandingan Seni Suara dan Gaya Berkicau Piala YB Datuk Seri Tiong King Sing Edisi Kedua yang berlangsung di Arena Petanque Jepak pada Ahad.

Edisi Kedua yang diadakan di Arena Petanque Jepak.
Menurutnya, program seumpama itu memperlihatkan bagaimana sesuatu minat mampu menghimpunkan masyarakat pelbagai latar belakang, sekali gus mewujudkan hubungan sosial yang lebih erat.
Katanya, keunikan pertandingan berkenaan bukan sahaja terletak pada persaingan menampilkan keistimewaan suara dan gaya burung, malah turut mencerminkan semangat kebersamaan serta kesungguhan peserta dalam menjayakan aktiviti yang diminati.
Beliau berkata, setiap komuniti mempunyai minat dan keunikan tersendiri yang wajar diberi ruang untuk berkembang kerana aktiviti sedemikian berpotensi menjadi platform memperkukuh hubungan sesama masyarakat.

Menurutnya, usaha mendekati komuniti menerusi aktiviti yang diminati mereka juga penting bagi memahami kehidupan dan kecenderungan penduduk, selain menggalakkan interaksi lebih rapat antara masyarakat dengan pemimpin setempat.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Kelab Pekicau Jepak atas penganjuran pertandingan berkenaan yang menyediakan ruang kepada peminat burung berkicau untuk berhimpun, bertukar pengalaman dan meluaskan jaringan persahabatan.
Beliau berharap pertandingan seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan aktiviti berkenaan terus berkembang, selain menjadi wadah mengukuhkan perpaduan dan hubungan kemasyarakatan.
“Penganjuran pertandingan seperti ini turut membuka peluang kepada peminat burung berkicau dari seluruh Sarawak serta negara jiran seperti Brunei Darussalam dan Indonesia untuk bertukar pengalaman serta memperluas jaringan persahabatan sekiranya penyertaan rentas sempadan direalisasikan,” tambahnya.
Sementara itu, Kencoro mewakili Kelab Pekicau Kuching menjuarai kategori Murai Batu A, diikuti Roslan dan Faiz masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori Burung Serindit, tempat pertama dimenangi Apis dari Kampung Melayu, Miri, manakala Ahmad Fattluh (Kelab Pekicau Jepak) di tempat kedua dan Zul (Kelab Pekicau Asajaya) di tempat ketiga.
Pertandingan itu dihakimi juri khas yang didatangkan dari Kelab Terigas, Sambas, Kalimantan Barat, Indonesia.




