KUALA LUMPUR: Kumpulan AFFIN mencatat Untung Sebelum Cukai (PBT) selepas zakat sebanyak RM358 juta bagi tempoh enam bulan berakhir pada 30 Jun 2025.
Ia sekali gus menunjukkan peningkatan kukuh tahun ke tahun (YoY) sebanyak RM64.9 juta atau 22.1 peratus berbanding RM293.1 juta pada tahun 2024.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan pendapatan bersih sebanyak RM160.9 juta, yang sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan peruntukan rosot nilai sebanyak RM80.2 juta.
Menurut beliau, portfolio dan pembiayaan kasar kumpulan berkembang sebanyak 7.3 peratus YoY kepada RM74.1 bilion, meningkat daripada RM69 bilion setahun sebelumnya.
Pada masa sama katanya, deposit pelanggan meningkat 9.8 peratus kepada RM78.2 bilion manakala nisbah Akaun Semasa dan Simpanan (CASA) bertambah baik kepada 28.2 peratus setakat 30 Jun 2025, berbanding 25.9 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
“Prestasi kukuh pada separuh pertama ini menegaskan keberkesanan strategi pertumbuhan fokus kami di bawah Pelan A25.
“Pelancaran aplikasi perbankan mudah alih iaitu AffinAlways pada Mei 2025 dilihat memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan Akaun Semasa dan Simpanan (CASA),” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, terbitan Nota Tidak Bercagar Kanan USD300 juta telah terlebih langgan sebanyak 3.5 kali, sekali gus menandakan keyakinan tinggi pelabur global.
Jelasnya, pencapaian tersebut meningkatkan akses pihaknya kepada pembiayaan USD berkos efektif serta mengukuhkan kedudukan dalam usaha mengejar peluang pembiayaan rentas sempadan yang sejajar dengan AX28.
“Walaupun deposit CASA meningkat 19.6 peratus YoY, kumpulan mencatatkan penurunan 9.2 peratus suku ke suku (QoQ), berpunca daripada peralihan ke Deposit Tetap berikutan ketidaktentuan pasaran global.
“Affin sedang melaksanakan strategi baharu gaji CASA untuk merancakkan dan mengekalkan pertumbuhan CASA.
Perbankan Enterprise terus meraih momentum dengan peningkatan pinjaman 15.4 peratus YoY yang dijangka memberi impak positif kepada Margin Faedah Bersih Kumpulan,” katanya.



