AGENDA 2023 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak merupakan manifestasi pelaksanaan program untuk tempoh sepanjang tahun ini.
Menurut Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai, Agenda 2023 bertujuan menzahirkan secara bertulis perancangan DBP Sarawak tentang program yang dijadualkan sepanjang 2023.
“Agenda 2023 ini terhasil melalui Bengkel Pengurusan DBP Cawangan Sarawak yang diadakan pada 10 hingga 11 Januari lalu di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agenda 2023, baru-baru ini. Secara umum, sekitar 122 program dirancang dan direkodkan untuk Agenda 2023 DBP Sarawak.
“Kita menjangkakan program DBP Sarawak lebih daripada yang dirancang apabila adanya permintaan rakan sinergi, Badan Bukan Kerajaan (NGO), agensi di bawah Kerajaan Sarawak mahupun Persekutuan yang ada di Sarawak untuk mengadakan program bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab DBP,” ujarnya.
Justeru, pelancaran Agenda 2023 DBP Sarawak ini katanya menjadi nilai tambah dalam mengetengahkan peranan dan tanggungjawab DBP Sarawak.
Seterusnya, ia menjadi asas kesedaran DBP Sarawak tentang pentingnya maklumat bersifat program masyarakat untuk dikongsi secara menyeluruh dan berfokus.
PERKEMBANGAN INTELEK
Tambah Abang Haliman, mekanisme perkongsian maklumat ini menjadi ciri ketelusan DBP Sarawak untuk menguar-uar hala tuju selari dengan hasrat Sarawak maju menjelang 2030.
Katanya, DBP Sarawak menyedari keberadaannya dalam arus perubahan dan kemajuan di Sarawak perlu diisi dengan perkembangan keintelektualan mengimbangi pembangunan fizikal, mental serta sahsiah.
“Keintensifan DBP Sarawak untuk bersama-sama Kerajaan Sarawak, pelbagai agensi di bawah Kerajaan Sarawak, juga agensi persekutuan yang ada di Sarawak serta masyarakatnya untuk memanfaatkan setiap program tersebut secara kerjasama.
“Ia harus dimanfaatkan dengan bersama-sama, bukan hanya dijadikan satu keperluan memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) DBP Sarawak,” jelas Abang Haliman.
DBP sudah sekian lama mengangkat bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan paling rasional, ampuh dan signifikan untuk sesebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia.
“Sekilas dengar, kita sudah tentu memahami setiap warga Malaysia yang setia pasti menyedari tanggungjawab kenegaraannya. “Walaupun ada keperluan menguasai bahasa Inggeris kerana terjahan pemodenan global.
“Bukan bermakna meminggir atau membuang sesuatu yang dimiliki sebagai identiti bangsa Malaysia yang amat berharga, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,” katanya.
Menyedari hakikat ini, DBP Sarawak mentakrifkan segala kegiatan yang dirancang Agenda 2023 menjadi laluan untuk merekayasa kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan, korporat dan budaya belajar sepanjang hayat menerusi pelbagai program 2023 di Sarawak.
HARI PEJUANG BAHASA
Sementara itu, Syarahan Hari Pejuang Bahasa 152 turut disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (Unimas) Chuah Kee Man yang menggalakkan pembinaan keintelektualan masyarakat setempat.
Objektif syarahan tersebut ialah memperkenalkan tokoh dalam bidang kebahasaan kepada pelajar dan khalayak sastera serta meningkatkan kesedaran tentang kehebatan bahasa kebangsaan melalui tokoh berpengalaman.
Penyampaian sijil Pengiktirafan Sahabat Bahasa DBP diberikan kepada pengkaji serta penyelidik yang sering bersama-sama DBP Sarawak melakukan kajian dan penyelidikan tentang bahasa, sastera, budaya dan sebagainya.
Ia penting untuk tujuan dokumentasi, terbitan serta dijadikan rujukan masa depan.




