KENINGAU Sabah: Agrobank memainkan peranan penting dalam membantu memperkukuh ekosistem agromakanan melalui pelbagai inisiatif dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada peladang, penternak, nelayan serta pemain industri itu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata sebagai bank pembangunan, Agrobank dipertanggungjawabkan untuk membantu memperkukuhkan keterjaminan makanan melalui penawaran pembiayaan.
Beliau berkata Agrobank menawarkan pembiayaan bukan sahaja bagi pertanian malah untuk setiap aktiviti dalam rantaian nilai sektor itu sejajar dengan aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan amnya serta kerajaan khasnya.
”Kesimpulannya, Agrobank memainkan peranan penting dalam membantu ekosistem agromakanan dengan menyediakan pembiayaan, sokongan perniagaan, khidmat konsultasi, rangkaian industri dan sokongan inovasi.
“Ini membantu menyokong perkembangan sektor agromakanan serta pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat luar bandar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Sambutan Tahun Baharu Cina Agrobank 2024 di sini semalam.
Majlis itu, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi, menyaksikan Arthur melancarkan reka bentuk terbaharu kad debit bank tersebut, iaitu Agro Debit-i.
Arthur berkata Agrobank bukan sahaja menyediakan pembiayaan malah melengkapkan usahawan dengan kemahiran melalui Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) di mana pengetahuan dari segi latihan dan bimbingan teknikal serta seni keusahawanan dibekalkan oleh pakar industri.
Beliau yakin pelancaran kempen secara rasmi semalam mampu menaikkan semangat teruja para usahawan tani untuk mempertingkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai dan menambah deposit simpanan.
“Bagi para usahawan pula, khususnya dalam sektor pertanian, rebutlah peluang ini untuk mengembangkan perniagaan anda agar terus kekal bersaing dan sejajar dengan pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Arthur juga berkata Agrobank menawarkan RM888 kepada 50 pelanggan bertuah menerusi kempen Heng Loong Huat dengan objektif menggalakkan mereka membuat pembayaran bebas tunai melalui penggunaan Agro Debit-i sempena kempen Tahun Baharu Cina.
“Inisiatif ini bukan yang pertama untuk Agrobank kerana mereka telah banyak melancarkan kempen seumpama ini dan yang paling menarik adalah tawaran kereta mewah Tesla menerusi kempen Mega Million Agrobank yang bakal berakhir hujung September tahun ini,” katanya. – BERNAMA






