LUBOK ANTU: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) atau kaunselor memainkan peranan penting dalam menggubal dasar yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, mereka memikul tanggungjawab besar dalam membantu merumus dan melaksanakan dasar kerajaan.
Beliau menegaskan, peranan kaunselor bukan sekadar memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan asas, malah turut terlibat secara langsung dalam penggubalan dasar yang memberi impak kepada rakyat.
“Ini memandangkan dasar dan undang-undang Kerajaan Sarawak memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak termasuk ahli majlis, persatuan serta badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Angkat Sumpah 32 Ahli Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) di sini, hari ini.
Jelasnya, lantikan mereka berkuat kuas 1 April 2025 hingga 31 Mac 2028.
Pegawai Daerah Lubok Antu Akoi Ejau dilantik sebagai Pengerusi MDLA, sementara Kaunselor Larkin Gol dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MDLA bagi tempoh yang sama.
Akoi merakamkan penghargaan ke atas kepercayaan diberikan kepada beliau dan semua Ahli MDLA yang dilantik.
Katanya, jawatan yang disandang bukan sekadar gelaran, tetapi amanah besar untuk memacu pembangunan Lubok Antu ke arah lebih maju, adil dan mampan.





