KUCHING: Seorang ahli perniagaan pembekal cenderahati didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam perjanjian bantuan melepaskan seorang wanita warga China yang ditahan pihak berkuasa, September tahun lalu.
Lelaki berusia 34 tahun itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Iris Awen Jon.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara tidak jujur mendorong seorang lelaki berusia 36 tahun memasukkan wang berjumlah RM26,000 ke dalam akaun bank miliknya dengan menjanjikan akan membantu melepaskan rakan mangsa yang ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kafe di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce sekitar jam 1.00 petang, 29 September 2025.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan boleh disebat serta didenda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 tanpa deposit dan jaminan tunai RM5,000 berserta dua penjamin tempatan.
Tertuduh juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 13 Julai depan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng, manakala tertuduh diwakili dua peguam.
Difahamkan, pada 29 September 2025, pengadu kes berjumpa secara bersemuka dengan suspek yang menawarkan khidmat bantuan untuk melepaskan rakan perempuannya warga China yang ditahan oleh Jabatan Imigresen semasa berada dalam sebuah pusat hiburan.
Pengadu bersetuju dengan tawaran suspek lalu membuat empat transaksi pemindahan wang ke akaun syarikat yang berjumlah keseluruhan RM26,000.
Namun, pada 29 November 2025, pengadu mendapati rakannya telah dikenakan tindakan undang-undang dan diusir pulang ke negara asal.
Susulan itu, pengadu yang merasakan dirinya ditipu telah membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.



