MIRI: Seorang ahli perniagaan di sini mengalami kerugian kira-kira RM67,000 selepas terjerat dalam penipuan penyamaran dalam talian.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia sekitar 60-an itu telah terpedaya apabila ditawarkan tender projek untuk membekalkan perabot sekolah tidak wujud oleh suspek.
“Segalanya bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada orang tidak dikenali (suspek) yang memperkenalkan diri dan mengaku dari Pejabat Pendidikan yang menawarkan tawaran projek membekalkan barangan perabot seperti bangku, tilam, meja, dan katil kepada pihak sekolah.
“Selain itu, mangsa juga telah diperkenalkan oleh suspek sama untuk berurusan dengan pembekal barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dirinya telah diperdaya selepas membuat semakan terhadap projek berkenaan dan mendapati projek membekalkan perabot itu adalah tidak wujud, serta mengalami anggaran kerugian sehingga berjumlah RM67,000.
Susulan itu katanya, mangsa telah tampil membuat laporan polis kepada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Miri, semalam.
Ekoran daripada laporan tersebut, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan sebat serta denda.


