Ahmad Ibrahim: Dayak hilang tanah jika PH memerintah

KUCHING: Orang Dayak akan kehilangan paling banyak tanah jika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Sarawak, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat peribumi supaya menolak PH dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

“Kalau PH mengambil alih Sarawak, habislah kita…tiada tanah hak adat bumiputera (NCR), tanah asli, tanah komunal dan sebagainya.

“Bangunlah orang peribumi Sarawak! Suarakan pendapat anda untuk melindungi Sarawak dan rakyatnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu bahawa negeri itu tidak mempunyai tanah adat untuk mana-mana kaum termasuk Orang Asli.

Ahmad Ibrahim

Tegas beliau yang juga pengerusi PH Perak, mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri tiada tanah yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk Orang Asli atau kaum lain.

Justeru, Ahmad menyifatkan apa yang berlaku di Perak itu adalah pembongkaran rahsia sendiri oleh PH, bahawa mereka tidak mempunyai akta dan tidak mengiktiraf tanah adat.

Sehubungan itu, beliau berkata kedatangan PH ke Sarawak untuk memperjuangkan tanah NCR hanyalah kepura-puraan.

“Kenapa PH datang ke Sarawak berpura-pura menjadi pejuang hak NCR, sedangkan di tempat mereka sendiri di Perak atau Tanah Melayu tidak mengiktiraf kewujudan atau keistimewaan kepada tanah peribumi,” katanya.

Beliau menegaskan hak tanah NCR dan peribumi di Sarawak hanya dijamin dapat dilindungi oleh pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sudah jelas mengiktiraf sepenuhnya tanah NCR termasuk had domain kawasan peribumi (NTD) iaitu sehingga 1,000 hektar, di bawah Kanun Tanah Sarawak.

“Oleh sebab itu, rakyat Sarawak mesti melindungi Kanun Tanah Sarawak. Kita mempunyai banyak hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Suara Sarawak