KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan takziah kepada keluarga Naib Ketua UMNO Bahagian Gombak, Allahyarham Ahmad Feardaus Daud, yang meninggal dunia semalam.
Ahmad Zahid, yang juga Presiden UMNO, berkata Allahyarham Ahmad Feardaus, lebih dikenali sebagai Dek Mat, banyak menabur jasa kepada parti, khususnya melalui Skuad Sabil dengan memberikan bantuan serta khidmat bakti kepada masyarakat yang memerlukan di seluruh negara.
“Kehilangan Dek Mat benar-benar dirasai oleh keluarga besar UMNO, khususnya UMNO Bahagian Gombak.
“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman, beramal soleh, serta beroleh ganjaran syurga. Insya-Allah,” katanya menerusi laman X semalam.
Ahmad Zahid turut mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini.
Turut mengucapkan takziah adalah Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyifatkan pemergian Allahyarham Ahmad Feardaus sebagai kehilangan seorang sahabat, pendukung, dan penyokong kuat sejak zaman beliau bersama Pemuda UMNO.
“Baru mendapat berita yang amat menyedihkan dan meruntun jiwa. Moga Allah merahmatimu dan tenanglah kamu di sana, wahai sahabatku,” katanya dalam catatan di Facebook. – BERNAMA



