JULAU: Program Bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Nanga Bilat di Rumah Genta, Julau menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai ancaman sosial seperti penipuan dalam talian dan penyalahgunaan dadah.
Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) merangkap Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata program seumpama itu memberi peluang kepada agensi kerajaan turun padang dan berkongsi maklumat penting dengan masyarakat luar bandar.
Menurut beliau, tanpa pendedahan seperti itu, ramai penduduk mungkin tidak mengetahui jenis dadah yang dikenali sebagai “batu” serta kesan buruknya terhadap kehidupan dan kesejahteraan masyarakat.
“Program seumpama ini amat berguna kerana memberi peluang kepada agensi kerajaan menerangkan kepada rakyat berkaitan masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah dan penipuan dalam talian.
“Kalau kita sudah tahu berkaitan perkara ini, kalau berlaku di depan mata kita, kita boleh kenal pasti,” katanya.

Beliau menambah bahawa kesedaran masyarakat amat penting bagi memastikan sebarang tanda penyalahgunaan dadah dalam komuniti dapat dikenal pasti lebih awal.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan orang ramai melaporkan kegiatan penipuan dalam talian kepada pihak berkuasa seperti polis atau agensi berkaitan supaya tindakan lanjut dapat diambil.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati memandangkan taktik penipuan kini semakin canggih termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara atau identiti individu tertentu.
“Scammer sekarang tidak memilih orang. Sama ada orang itu kaya atau tidak, semua orang boleh jadi mangsa. Oleh sebab itu kita mesti berjaga-jaga dan lebih waspada,” tegasnya.
Beliau berharap program kesedaran komuniti seperti itu dapat diteruskan bagi memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap isu sosial yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan komuniti setempat.








