ARTIKEL

AI jadi medium dakwah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Usia emas bukanlah penghalang untuk terus menimba ilmu, sebaliknya merupakan fasa kehidupan yang perlu dimanfaatkan dengan memperkukuh amalan keagamaan, memperluas pengetahuan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Dalam mendepani perkembangan teknologi, warga emas juga berpeluang meneroka dunia digital, termasuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) sebagai medium untuk mendapatkan maklumat serta menyebarkan ilmu yang bermanfaat.

Pengerusi Kelab Digital Warga Emas (DiWarMas) Kuching, Sajali Mohamad berkata, warga emas perlu diberikan ruang dan peluang untuk terus belajar, berkarya serta mengikuti perkembangan semasa tanpa menganggap usia sebagai penghalang.

Menurutnya, dunia digital bukan sahaja milik generasi muda, malah menjadi penghubung antara warga emas dengan ilmu, keluarga dan masyarakat tanpa sempadan.

Beliau berkata demikian bersempena dengan sambutan Hari Warga Emas yang membawa mesej bahawa golongan berkenaan wajar dihargai atas pengalaman, pengorbanan dan sumbangan mereka kepada masyarakat.

“Warga emas bukan sekadar insan yang meniti usia, tetapi permata kehidupan yang menyimpan seribu pengalaman, selaut kebijaksanaan dan sejuta kenangan.

“Rambut yang memutih bukan tanda hilangnya sinar, tetapi lambang perjalanan yang sarat dengan pengorbanan, manakala kedutan di wajah menjadi helaian sejarah yang mengajar erti ketabahan, kesabaran dan kasih sayang,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Bilik Konferen 1, Pustaka Negeri Sarawak, baru-baru ini.

Sementara itu, penceramah Ahmad Nizam Johari berkata, sambutan dan perhimpunan warga emas turut menjadi wadah untuk saling mengingatkan tentang kepentingan menghargai usia yang dikurniakan Allah SWT.

Beliau yang aktif dalam kegiatan bersama komuniti berkenaan sejak kira-kira setahun lalu berkata, amanah menyampaikan tazkirah di Pustaka Negeri Sarawak membuka ruang untuk mengingatkan masyarakat bahawa manusia ialah makhluk yang lemah dan serba kekurangan di sisi Allah SWT.

Menurutnya, setiap individu perlu memanfaatkan masa dan peluang kehidupan dengan sebaik-baiknya, khususnya apabila memasuki usia lanjut.

“Kita tidak tahu bila ajal akan tiba atau bila kita akan dipanggil kembali menghadap Allah SWT.

“Justeru, setiap peluang yang diberikan perlu digunakan untuk mendekatkan diri kepada-Nya serta membuat persiapan menuju alam yang kekal abadi,” katanya.

Ahmad Nizam turut mengingatkan warga emas supaya tidak berhenti menuntut ilmu meskipun pembelajaran dilakukan secara berperingkat kerana pembelajaran merupakan proses sepanjang hayat.

Antara bidang ilmu yang perlu diberikan perhatian ialah ilmu fardu ain, ilmu fardu kifayah dan pengajian al-Quran, selain menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Mengulas penggunaan AI dari perspektif agama, beliau berpandangan teknologi itu boleh dimanfaatkan sebagai medium penyampaian maklumat dan dakwah secara dalam talian sekiranya digunakan dengan betul dan berpandukan nilai Islam.

Katanya, AI berpotensi membantu masyarakat memperoleh dan menyebarkan ilmu agama, sekali gus mendorong lebih ramai individu melakukan kebaikan.

“Perkara paling penting ialah bagaimana kita menggunakan teknologi AI untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat yang membawa kebaikan.

Jika dimanfaatkan dengan sebaikbaiknya, AI juga boleh menjadi salah satu medium dakwah,” katanya.

Sehubungan itu, kemajuan teknologi perlu dimanfaatkan secara positif supaya warga emas bukan sahaja celik digital, malah terus meningkatkan pengetahuan, memperkukuh kerohanian dan melibatkan diri dalam kehidupan bermasyarakat.

Selaras dengan slogan DiWarMas, ‘Warga Emas Dihargai, Pengalaman

Menjadi Inspirasi, Literasi Digital Memperkasa Generasi’, usia bukanlah alasan untuk berhenti belajar, sebaliknya merupakan peluang untuk terus memberikan manfaat kepada orang lain.

BERITA LAIN

Suara belia dalam demokrasi

PILIHAN Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-13 bakal menjadi medan penting bagi golongan belia untuk memainkan peranan menentukan hala tuju pentadbiran negeri

Berani bersuara walaupun gemuruh

Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai kelas Kuasai Asas Berucap dalam Dua Jam anjuran Kelab Pidato Perdana Antarabangsa. Terus terang, saya sangat gemuruh apabila berucap dan

BERITA TERBARU

Apabila manusia jadi dagangan

PENAHANAN 130 rakyat Malaysia dalam serbuan di sebuah pusat penipuan atau scam di Pakistan baru-baru ini membuka kembali persoalan besar mengenai kegiatan jenayah rentas sempadan,

Jangan Jadikan Agama Senjata Politik – Mustapha

KOTA KINABALU: Parti politik diingatkan agar tidak memperalat sentimen agama sebagai senjata bagi mempertikaikan strategi lawan susulan kenyataan mengaitkan instrumen demokrasi berparlimen dengan watak akhir zaman, kata