ARTIKEL

Berani bersuara walaupun gemuruh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai kelas Kuasai Asas Berucap dalam Dua Jam anjuran Kelab Pidato Perdana Antarabangsa.

Terus terang, saya sangat gemuruh apabila berucap dan jarang sekali tampil secara sukarela untuk berbuat demikian.

Hendak berterus terang sahaja pun saya takut dan gemuruh, apatah lagi berdiri di hadapan khalayak untuk menyampaikan ucapan.

Perasaan itu sebenarnya sudah wujud sejak zaman persekolahan.

Ketika berada di dalam kelas, saya lebih suka mendundukkan kepala dan berharap agar tidak dipilih oleh guru untuk menjawab soalan.

Jika boleh, saya tidak mahu menarik perhatian atau menjadi individu yang perlu tampil ke hadapan.

Hal ini bukan kerana saya tidak mempunyai jawapan atau pandangan, tetapi kerana rasa malu dan takut melakukan kesilapan sering mengatasi keinginan untuk bersuara.

Apabila sememang dewasa, saya mula menyedari bahawa sikap terlalu selesa berdiam diri boleh mengehadkan potensi diri.

Adakalanya, kita mempunyai idea yang baik, pengetahuan yang boleh dikongsikan dan persoalan yang wajar dibangkitkan, tetapi semuanya terpendam kerana kita tidak cukup berani untuk meluahkannya.

Hakikatnya, kebolehan berkomunikasi bukan sekadar satu kelebihan, malah merupakan kemahiran penting yang perlu dibina dan diasah sepanjang hayat.

Menerusi kelas berkenaan, saya berpeluang mempelajari beberapa teknik asas pengucapan awam, khususnya cara menguruskan perasaan gemuruh dan menyampaikan ucapan dengan lebih teratur.

Antara perkara yang menarik perhatian saya adalah kaedah 3S, iaitu Santai, Imbas dan Suara.

Pendekatan ini mengajar peserta bahawa perasaan gemuruh bukan sesuatu yang perlu dianggap sebagai kelemahan, sebaliknya boleh dikawal melalui persediaan dan teknik yang betul.

Santai bermaksud menenangkan diri sebelum memulakan ucapan, antaranya melalui teknik pernafasan yang teratur.

Imbas pula merujuk kepada tindakan memperhatikan keadaan sekeliling dan mencari wajah pendengar yang memberikan reaksi positif, seperti senyuman.

Sementara itu, suara menekankan kepentingan melontarkan suara dengan jelas, menggunakan sebutan yang tepat serta kelantangan suara yang sesuai.

Saya tertarik dengan pendekatan ini kerana selama ini saya menganggap individu yang petah berucap sememangnya dilahirkan dengan keyakinan semula jadi.

Rupa-rupanya, kemahiran tersebut juga boleh dibentuk melalui latihan, persediaan dan pengalaman.

Selain mengawal perasaan gemuruh, penyusunan ucapan juga memainkan peranan penting.

Kaedah Buka, Isi dan Tutup memberikan panduan mudah untuk memastikan sesuatu penyampaian mempunyai struktur yang jelas.

Pembukaan perlu menarik perhatian pendengar, bahagian isi pula menyampaikan mesej utama dengan huraian dan contoh yang sesuai, manakala penutup berfungsi untuk mengukuhkan perkara yang dibincangkan serta meninggalkan kesan kepada pendengar.

Satu lagi perkara yang saya pelajari ialah kepentingan berhasa tubuh ketika berucap.

Berdiri dengan postur badan yang baik, menggerakkan tangan dengan cara yang sesuai dan mengadakan hubungan mata dengan pendengar mengurangkan rasa yang dapat membantu seseorang kelihatan lebih yakin.

Barangkali perkara ini nampak mudah bagi individu yang biasa berucap.

Namun, bagi sesegang yang jarang berdiri di hadapan khalayak, setiap pergerakan tubuh boleh menjadi cabaran.

Daripada pengalaman itu, saya mula memahami bahawa keyakinan bukan bermaksud seseorang tidak berasa takut. Sebaliknya, keyakinan ialah keupayaan untuk terus melangkah walaupun perasaan takut masih ada.

Dalam dunia pekerjaan, khususnya bidang kewartawanan, kemahiran berkomunikasi merupakan satu keperluan.

Kita perlu berani bertanya, mendapatkan penjelasan, mengemukakan pandangan dan berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Ironinya, seseorang wartawan mungkin begitu berani mengajukan soalan kepada tokoh penting, pemimpin atau individu yang ditemu bual, tetapi masih berasa kecok apabila diminta menyampaikan ucapan di hadapan khalayak.

Situasi ini mengingatkan saya bahawa kemahiran berkomunikasi mempunyai skop yang luas.

Kebolehan bertanya soalan dan menjalankan temu bual tidak semestinya menjadikan seseorang itu mahir berucap.

Kedua-dua kemahiran itu memerlukan latihan dan pendekatan yang berbeza.

Saya juga percaya ketakutan melakukan kesilapan sering menjadi penghalang utama kepada sesebah untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Kita terlalu memikirkan pandangan orang lain, bimbang tersalah sebut, takut dilihat tidak pandai dan risau jika ucapan tidak berjalan seperti yang dirancang.

Hakikatnya, tiada sesiapa yang terus mahir tanpa melalui proses pembelajaran.

Mereka yang petah berbicara hari ini juga mungkin pernah gugur, terfiusa ini ucapan atau melakukan kesilapan ketika mula belajar.

Perkara yang membezakan mereka ialah kesanggupan untuk terus mencuba dan memperbaiki kelemahan.

Bagi saya, menyertai kelas selama dua jam itu mungkin kelihatan seperti satu langkah kecil.

Namun, keberanian untuk mengaku kelemahan diri dan mengambil inisiatif mempelajari sesuatu yang selama ini ditakuti merupakan satu pencapaian peribadi.

Saya tidak menjangkakan selepas mengikuti satu kelas, saya akan terus menjadi individu yang petah berucap atau mampu berdiri di hadapan ratusan orang tanpa berasa gemuruh.

Perubahan memerlukan masa, latihan dan kesungguhan.

Bak kata pepatah Inggeris, practice makes perfect (latihan menjadikan seseorang lebih mahir).

Namun, saya mahu mula membiasakan diri untuk tidak terus menundukkan kepala apabila berada dalam situasi yang memerlukan saya bersuara.

Saya mahu belajar mengangkat tangan untuk bertanya, memberikan pandangan dan memberi peluang untuk berbicara apabila diberi ruang.

Daripada pengalaman ini, saya mempelajari satu perkara penting, iaitu suara kita juga mempunyai nilai.

Jangan biarkan rasa malu dan takut menyebarkan idea, pengetahuan serta pandangan yang baik terus terpendam dalam diri.

Kita mungkin tidak mampu menghilangkan rasa gemuruh sepenuhnya, tetapi kita sentiasa mempunyai pilihan untuk tidak membiarkannya mengawal kehidupan.

Kadangkala, langkah paling bermakna dalam membina keyakinan bukanlah keberanian berdiri di atas pentas, tetapi kesanggupan untuk mula bersuara.

BERITA LAIN

SUF 2.0 perkukuh pembangunan bandar mampan

Sarawak terus memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan bandar yang mampan, inklusif dan berdaya tahan bagi menghadapi cabaran masa depan menerusi penganjuran Sarawak Urban Forum (SUF) 2.0.

Seni bukan sekadar untuk dipandang

BUKU Rupa dan Jiwa: Pelukis, Peristiwa dan Persepsi Seni yang ditulis oleh Muliyadi Mahamood mengajak kita menelusuri pelukis, peristiwa dan cara kita mentafsir imej. Pameran

BERITA TERBARU

Siapa berundur, siapa diundur?

SETIAP kali menjelang pilihan raya, ada satu pertanyaan yang berlegar-legar dalam fikiran wakil rakyat: “Adakah nama saya masih dalam senarai?” Bagi rakyat dan pengundi di