PILIHAN Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-13 bakal menjadi medan penting bagi golongan belia untuk memainkan peranan menentukan hala tuju pentadbiran negeri menerusi hak mengundi sebagai warganegara yang memenuhi syarat kelayakan.
Dengan pelaksanaan Undi18, golongan muda yang berusia 18 tahun kini berpeluang mengambil bahagian secara langsung dalam proses demokrasi, termasuk memilih wakil rakyat yang akan membawa suara mereka di Dewan Undangan Negeri.
Perkembangan itu menjadikan penyertaan belia antara aspek yang wajar diberikan perhatian menjelang PRU DUN Sarawak Ke-13, khususnya dalam kalangan pengundi kali pertama yang bakal menunaikan tanggungjawab mereka.
Bagi sebahagian anak muda, pilihan raya negeri kali ini mungkin menjadi pengalaman pertama mereka menyertai proses demokrasi dalam menentukan kepimpinan pada peringkat negeri.
Penyertaan itu bukan sekadar pengalaman baharu, malah membawa tanggungjawab untuk memahami kepentingan setiap undi yang ditunaikan.
Undi18 yang mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 merupakan perubahan penting dalam sistem pilihan raya negara apabila had umur kelayakan mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.
Pindaan Perlembagaan Persekutuan itu turut membolehkan pendaftaran pemilih dilaksanakan secara automatik bagi warganegara yang memenuhi syarat kelayakan apabila mencapai usia 18 tahun, tertakluk pada proses pemerakuan daftar pemilih.
Langkah berkenaan membuka ruang yang lebih luas kepada generasi muda untuk terlibat dalam proses pembuatan keputusan, sekali gus mengiktiraf suara mereka sebagai anggota masyarakat yang mempunyai kepentingan terhadap masa depan negara.
Dalam konteks Sarawak, PRU Sarawak Ke-13 memberikan peluang kepada golongan belia untuk menentukan wakil rakyat bagi kawasan masing-masing di DUN.
Hal ini penting kerana keputusan pilihan raya negeri berkait rapat dengan pembentukan kerajaan negeri serta pelaksanaan dasar pembangunan yang memberikan kesan kepada kehidupan rakyat.
Antara perkara yang berkait rapat dengan kehidupan golongan muda ialah peluang pekerjaan, akses kepada pendidikan, kemudahan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan penyediaan kemudahan asas, khususnya di kawasan luar bandar.
Bagi anak muda di kawasan pedalaman Sarawak, isu berkaitan dengan jaringan jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan capaian Internet juga merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian.
Keperluan tersebut menunjukkan bahawa pilihan raya bukan sekadar persaingan antara calon atau parti politik, sebaliknya turut melibatkan masa depan masyarakat di setiap kawasan.
Justeru, golongan belia perlu mengambil peluang untuk mengenali calon yang bertanding serta meneliti tawaran dan perancangan pembangunan yang dikemukakan sebelum menentukan pilihan.
Sehubungan itu, mereka juga wajar menilai latar belakang, pengalaman serta rekod perkhidmatan calon supaya keputusan dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan bukan semata-mata dipengaruhi oleh sentimen.
Saya percaya bahawa golongan belia mampu membuat pilihan secara bijak berdasarkan penilaian terhadap calon yang bertanding, bukan sekadar keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Dalam era perkembangan teknologi komunikasi, media sosial menjadi antara saluran utama bagi anak muda untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan politik dan pilihan raya.
Namun, kemudahan tersebut turut menuntut kebijaksanaan pengguna dalam membezakan maklumat sahih daripada berita palsu, fitnah dan kandungan yang sengaja dimanipulasi.
Sebarang maklumat berkaitan dengan calon, parti politik dan proses pilihan raya perlu disemak melalui sumber yang boleh dipercayai, termasuk pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Di samping itu, kesedaran politik dalam kalangan belia juga tidak seharusnya hanya muncul ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu dibentuk secara berterusan melalui pemahaman terhadap isu semasa dan perkembangan pentadbiran negeri.






