CYBERJAYA: Penubuhan AI Malaysia Bhd sebuah entiti kecerdasan buatan kebangsaan di bawah Kementerian Digital akan menjadi pemangkin utama dalam merealisasikan aspirasi Negara AI 2030.
Kementerian Digital dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui AI Malaysia, tumpuan penuh akan diberikan bagi memastikan sebarang sistem AI yang dibangunkan, diguna pakai, dan ditadbir di dalam negara sentiasa berpaksikan manusia (human-centric), selamat, serta boleh dipercayai.
“Sebagai sebuah entiti AI kebangsaan di bawah Kementerian Digital, AI Malaysia berfungsi sebagai badan induk yang menyatukan penyelarasan dasar dengan pelaksanaan pada peringkat nasional,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan melalui pendekatan ekosistem keseluruhan kerajaan (whole-of-government), AI Malaysia akan menggalas tanggungjawab utama seperti penyelarasan dasar dan pelaksanaan serta pemantauan impak tinggi bagi memastikan keberhasilan dan pencapaian inisiatif di bawah Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 dipantau rapi.
Kementeran Digital memaklumkan bersempena dengan pelancaran AI Malaysia, kerajaan turut memperkenalkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 sebagai agenda pembinaan negara yang kritikal.
Pelan itu menjadi instrumen yang menterjemahkan visi Negara AI kepada tindakan yang jelas, tersusun dan boleh diukur serta menyediakan hala tuju bersama-sama yang membolehkan pembangunan bakat, inovasi serta tadbir urus AI bergerak secara bersepadu.
“Pelan ini digerakkan melalui mekanisme pelaksanaan berstruktur tinggi yang memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan ekosistem menerusi dua komponen utama, iaitu 14 inisiatif sektoral yang memberi impak langsung kepada pertumbuhan sosioekonomi negara dan 14 inisiatif yang menyokong sektor-sektor impak, merangkumi lima teras pemangkin asas.
“Lima pemangkin asas itu ialah Modal Insan Berdaya Saing Global, Inovasi Dipacu Pasaran, Infrastruktur Data dan Pengkomputeran, Tadbir Urus Bertanggungjawab dan Pembiayaan dan Pelaburan Mampan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, AI Malaysia juga bertanggungjawab membangunkan kerangka tadbir urus, kod etika, piawaian dan mekanisme kepercayaan berkaitan AI, menyelaras hubungan strategik dan kolaborasi AI pada peringkat global dan melaksanakan peranan sebagai Institut Keselamatan AI negara bagi memperkukuh aspek kepercayaan digital.
Kementerian Digital turut mengumumkan penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia (MY-AISafe) sebagai inisiatif strategik bagi memperkukuh keupayaan teknikal dengan memanfaatkan kepakaran daripada kerajaan, industri, akademia dan institusi penyelidikan di Malaysia.
Dua teras lagi ialah kerjasama strategik bagi pembangunan bakat, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi pada peringkat nasional dan antarabangsa serta tadbir urus, keselamatan dan sokongan regulatori melalui pembangunan piawaian, pengurusan risiko serta jaminan pematuhan.
“Penubuhannya akan meningkatkan keyakinan rakyat, memperkukuh daya tahan negara terhadap risiko AI dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi keselamatan dan tadbir urus AI,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Kementerian Digital memaklumkan Rang Undang-undang (RUU) Tadbir Urus AI sedang dirangka sebagai instrumen perundangan utama yang menggunakan pendekatan berasaskan risiko (risk-based).
Menurut kenyataan itu, pembangunan RUU yang kini dibuka untuk konsultasi awam, disasarkan siap menjelang hujung tahun ini bagi menyediakan perlindungan dan kepastian undang-undang yang jelas tanpa mengekang inovasi sekali gus melonjakkan keyakinan awam serta pelabur terhadap ekosistem digital negara.
Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam kenyataan sama berkata penubuhan AI Malaysia Bhd menjadi langkah strategik untuk menyatukan penyelarasan dasar dan pelaksanaan pada peringkat nasional secara menyeluruh.
“Berpandukan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030, kementerian komited untuk memastikan pembangunan kecerdasan buatan dibina atas dasar kepercayaan, keselamatan dan tadbir urus yang kukuh, termasuk melalui penggubalan RUU Tadbir Urus AI serta penubuhan Institut Keselamatan AI Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan penubuhan AI Malaysia Bhd, sebuah entiti kecerdasan buatan kebangsaan di bawah Kementerian Digital. — Bernama



