KUCHING: Kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital menjadi antara fokus utama Sidang Kemuncak Kepimpinan Korporat Sarawak (SCLS) 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 1 dan 2 Oktober ini di Hotel Riverside Majestic (Puteri Wing), Kuching.
Persidangan itu bakal dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang turut menyampaikan ucaptama bertajuk “Daripada Visi kepada Realiti dalam Perjalanan Transformasi Sarawak.”


SCLS 2026 dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dan Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak.
Bertemakan “Memimpin Transformasi untuk Organisasi Berprestasi Tinggi”, sidang kemuncak itu bertujuan memberikan pandangan strategik, pengalaman praktikal serta pendekatan yang terbukti berkesan dalam transformasi organisasi menerusi kajian kes sebenar dan amalan terbaik.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah kepimpinan dan transformasi organisasi, transformasi digital dan kecerdasan buatan, daya tahan kewangan, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kelestarian, akauntabiliti berkaitan iklim, pembelajaran organisasi, daya tahan serta tadbir urus korporat.


Dua sesi yang memberi tumpuan khusus kepada transformasi digital ialah “Transformasi Digital yang Memberikan Hasil” dan “Memacu Transformasi Digital Sarawak”.
Program itu turut menghimpunkan pengamal berpengalaman dan pemikir daripada sektor awam serta swasta, termasuk wakil Roland Berger, PwC Malaysia, Ernst & Young Consulting, Global Institute for Tomorrow, Sistem Maklumat Sarawak (SAINS), Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) dan Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG).
Peserta juga berpeluang mempelajari pengalaman transformasi daripada pelbagai sektor serta meneroka kaedah memperkukuh kepimpinan, tadbir urus, keupayaan tenaga kerja dan model operasi dalam menghadapi perubahan ekonomi dan teknologi.


