KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak tetap memuji semangat serta pengorbanan yang telah diberikan pemainnya pada aksi final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Meskipun gagal mencipta kejutan selepas tewas 2-0 di tangan juara lima kali itu dalam perlawanan yang turut disaksikan lebih 50,000 penyokong.
Yang pasti, kata Aidil, pemainnya telah berusaha memberikan tentangan dan aksi terbaik sepanjang perlawanan.
“Saya tidak menyalahkan pemain ekoran kekalahan malam tadi. Mereka telah memberikan yang terbaik dan bekerja keras sepanjang perlawanan.
“Di pentas final, hanya ada satu pemenang dan JDT telah mengambil peluang yang ada. Itu perbezaan antara kedua-dua pasukan,” ujar Aidil pada sidang media selepas perlawanan.
Aidil juga tidak menyalahkan Ramadhan Saifullah di sebalik kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti malam tadi.
“Berdepan dengan sepakan penalti, situasinya adalah 50-50, pemain terbaik dunia sekali pun ada yang gagal berbuat demikian,” tambah Aidil.
Beliau mengakui andai Ramadhan Saifullah berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti itu, pasti perlawanan tersebut berubah.
Tegas Aidil, kesilapan dalam bola sepak adalah perkara biasa dan Ramadhan Saifullah telah memberikan yang terbaik.
Mengenai percaturan kesebelasan utama yang diturunkan pada perlawanan tersebut, Aidil berkata beliau seorang yang berani mengambil risiko serta membuat kejutan.
“Semua orang menjangkakan Ronald Ngah Wanja akan bermain, tetapi saya menurunkan Jerome Mpacko Etame.
“Semalam, Jerome Mpacko Etame telah membuktikan dia seorang pemain berkualiti meskipun masih memerlukan masa.
“Maksud saya, jika dia cukup berbisa sudah tentu dia mampu menjaringkan sekurang-kurangnya dua gol,” menurut Aidil.



