MAJLIS ramah-tamah Aidilfitri 1446H yang dianjurkan oleh Sekolah Rendah Islam Al-Amin Miri (SRIAAM), Yayasan Pusat Hidayah (HCF), IKRAM Miri serta para guru dari Tadika dan Taska telah berlangsung dengan meriah pada Jumaat lalu.
Majlis yang diadakan di perkarangan SRIAAM itu dihadiri oleh hampir 100 orang tetamu, yang terdiri daripada ibu bapa, muridmurid, wakil IKRAM Miri dan HCF serta masyarakat sekitar.
Pelaksanaan majlis ini diharapkan dapat membentuk sahsiah diri yang tinggi serta menggalakkan amalan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian murid.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk budaya hidup yang baik melalui amalan bermaaf-maafan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Majlis ini turut menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim antara warga sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.
Antara acara menarik yang diadakan ialah pertandingan baju raya yang terbahagi kepada tiga kategori utama, iaitu kategori keluarga sedondon, kategori kanakkanak dan kategori dewasa.
Majlis turut diserikan dengan persembahan murid-murid dari pelbagai peringkat yang mempamerkan bakat mereka di hadapan para tetamu.
Majlis ramah-tamah Aidilfitri ini berlangsung dengan jayanya hasil kerjasama dan sokongan daripada semua pihak.



