KUCHING: Kemeriahan Aidilfitri bukan sekadar tentang juadah enak dan kunjung-mengunjung, tetapi turut memperlihatkan keutuhan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di Sarawak.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, perayaan ini menjadi cerminan hubungan erat antara masyarakat dengan pemimpin dan agensi kerajaan yang semakin serasi serta saling melengkapi.

“Suasana perayaan seperti ini membuka ruang untuk menyemai semangat kebersamaan selain mengeratkan hubungan kekeluargaan. Aidilfitri juga berperanan sebagai jambatan penting dalam memperkukuh kerjasama merentas pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N9 Padungan di sebuah hotel ternama, malam tadi.
Rodiyah merangkap Ketua PBB Cawangan Padungan berkata, semangat seperti ini menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri ke arah masa depan yang lebih cemerlang.



