KUCHING: Malam kemuncak Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2025 menyaksikan persaingan sengit antara karya serantau, dengan filem-filem dari Vietnam, Filipina, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Brunei diraikan dalam sebuah acara penuh gemilang di Pullman Kuching.
Malam gala tersebut turut diserikan dengan penyampaian anugerah khas oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menganugerahkan Lifetime Achievement Award kepada pengarah tersohor Filipina, Lav Diaz, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan legasinya dalam dunia perfileman ASEAN.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri dan legenda filem Hong Kong, Simon Yam.
Dalam kategori penulisan, The Gospel of the Beast dari Filipina meraih kemenangan bagi Skrip Terbaik, mengatasi pencabar seperti Abang Adik dari Malaysia, Inside the Yellow Cocoon Shell dari Vietnam, Tenement dari Kemboja dan Chi dau – The Real Sister dari Vietnam.
Bagi kategori Suntingan Filem Terbaik, kemenangan berpihak kepada Inside the Yellow Cocoon Shell dari Vietnam, menewaskan filem-filem dari Singapura dan Malaysia termasuk King of Hawkers, Babah dan Reversi.
Sementara itu, kategori Sinematografi Terbaik dimenangi filem Filipina Some Nights I Feel Like Walking, yang mengetepikan pesaing dari Vietnam, Kemboja, Filipina dan Indonesia.
Dua pengiktirafan khas turut diberikan pada malam tersebut, dengan Tegkang dari Malaysia menerima Special Jury Award pertama manakala Waiters dari Brunei merangkul Special Jury Award kedua, memperlihatkan kepelbagaian genre dan kekuatan naratif dari Borneo.
Dalam kategori lakonan, Sweet Qismina dari Malaysia mencatat kemenangan bagi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Babah, manakala Ronnie Lazaro dari Filipina menerima anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik melalui The Gospel of the Beast.
Kemenangan untuk Pelakon Wanita Terbaik pula berpihak kepada Yunita Siregar dari Indonesia menerusi Home Sweet Loan, menewaskan calon dari Vietnam, Kemboja dan Indonesia.
Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Malaysia meraih kemenangan penting apabila Wu Kang Ren dari filem Abang Adik dipilih sebagai penerima anugerah tersebut.
Kategori Pengarah Terbaik dimenangi pengarah Vietnam, Pham Thien Ann, yang mengetengahkan sinematografi dan penceritaan bersifat kontemplatif melalui Inside the Yellow Cocoon Shell, menewaskan barisan pengarah ternama dari Malaysia, Filipina, Kemboja dan Indonesia.
Kemuncak acara menyaksikan filem Tenement dari Kemboja dinobatkan sebagai Filem Terbaik AIFFA 2025, mengatasi pencalonan dari Vietnam, Filipina, Malaysia dan Indonesia. – TVS



