ARTIKEL

Air Terjun Bayan Lepas atau lebih dikenali sebagai Air Terjun Pak Lah suatu ketika dahulu pernah popular sebagai kawasan berkelah dan riadah di kalangan penduduk tempatan, kini kotor dan terbiar.

Air terjun terbiar, atasi pembuangan sampah haram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Oleh Siti Azila Alias

GEORGE TOWN: Air Terjun Bayan Lepas atau lebih dikenali sebagai Air Terjun Pak Lah suatu ketika dahulu pernah popular sebagai kawasan berkelah dan riadah dalam kalangan penduduk tempatan, kini kotor dan terbiar.

Malah, lokasi yang pernah menjadi tempat bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi mandi-manda sewaktu kecil itu juga dalam keadaan menyedihkan apabila dipenuhi dengan timbunan sampah sarap selain airnya juga dilihat keruh dan tercemar.

Tinjauan Bernama mendapati ada papan tanda dipasang di laluan masuk ke air terjun itu yang terletak kira-kira 400 meter dari jalan besar tetapi dalam keadaan usang, selain persekitaran jalan menuju ke situ ditumbuhi semak samun seperti sudah lama tidak diselenggara.

Penduduk asal Kampung Bukit, Daud Abd Rani, 60, berkata keadaan itu sekali gus menimbulkan ancaman keselamatan terutama binatang berbisa seperti ular yang dikhuatiri menjadikan kawasan tersebut sebagai habitat.

“Air terjun ni semula jadi dan dipercayai telah wujud sejak zaman pendudukan Jepun lagi. Dulu sewaktu kecil dekat situlah kami mandi…masa tu air elok, udang galah pun ada selain ikan sungai. Pak Lah (Tun Abdullah) pun selalu mandi di sini masa beliau kecil,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk Khazari Abdul Shukor, 30, berkata penduduk sudah tidak lagi mandi di air terjun itu sejak projek perumahan dibangunkan bersebelahan kawasan itu lebih 10 tahun lepas.

“Sejak flat itu siap timbul isu pencemaran disebabkan penghuni yang kebanyakannya warga asing, didakwa melempar sampah keluar dari kediaman sesuka hati ke lereng bukit dan ia bukan saja mencacatkan pemandangan bahkan turut menimbulkan bau busuk,” katanya.

Ramlah Salleh, 75, pula berkata dia sedih dengan apa yang berlaku tambahan pula Pulau Pinang tidak banyak air terjun dan sepatutnya ia dipelihara sebagai satu warisan bukan diabaikan dan dibiarkan tercemar.

Ramlah bagaimanapun berkata belum terlambat untuk pihak berwajib mengambil tindakan bagi memulihara air terjun itu selain penguatkuasaan lebih tegas terhadap mereka yang melakukan kerosakan sekali gus menghidupkan semula lokasi tersebut sebagai tempat riadah.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran ketika dihubungi Bernama memberitahu air terjun itu di bawah tanggungjawab Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagaimanapun, beberapa langkah jangka pendek akan diambil MBPP bagi menangani masalah pembuangan sampah secara haram di kawasan tersebut.

Beliau berkata lawatan ke lokasi telah dibuat pada 14 Feb lepas bersama jabatan dalaman MBPP dan ahli majlis bagi meninjau keadaan di kawasan tersebut.

“Sebagai langkah jangka masa pendek, kami akan mengadakan program kesedaran kepada penduduk sekitar selain mengenal pasti unit yang didiami pekerja warga asing dan majikan mereka bagi tujuan itu.

Rajendran berkata pasukan petugas MBPP akan menjalankan kerja-kerja pembersihan sampah di laluan kenderaan ke lokasi air terjun.

Bagi langkah jangka masa sederhana dan panjang pula, beliau berkata MBPP sedang berusaha untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan pelaku yang membuang sampah di lereng bukit sekitar flat tersebut.

“Kami juga akan melantik kontraktor untuk menjalankan pembersihan di cerun bukit secara berkala selain cadangan membina halangan atau perangkap di belakang flat bagi menghalang sampah dibuang terus ke cerun lereng bukit tersebut,” katanya.

— BERNAMA

BERITA LAIN

Nizar Najib nafi cuba jatuhkan Kerajaan Pahang

KUANTAN, Pahang: Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib, hari ini menafikan dakwaan bahawa beliau cuba menjatuhkan Kerajaan Pahang

BERITA TERBARU