ARTIKEL

Joseph Chieng Jin Ek membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini. (Tangkap layar)

AirBorneo harus jadi pemangkin penyatuan dan mobiliti rakyat Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak digesa menambah kekerapan penerbangan dari Sibu ke Kuching, Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Miri apabila syarikat penerbangan AirBorneo dilancarkan kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, berkata perjalanan udara merupakan nadi yang menghubungkan keluarga, perniagaan dan sektor pelancongan.

“Justeru, dengan pelancaran AirBorneo, amat penting syarikat penerbangan Sarawak ini memenuhi keperluan sebenar rakyat, termasuk di Sibu yang juga merupakan pusat logistik, komersial, perkhidmatan dan pendidikan di wilayah tengah.

“Selain itu, rakyat Sibu terbeban apabila tambang penerbangan naik mendadak setiap musim perayaan. Ramai bergelut untuk pulang beraya. Saya berharap AirBorneo menyediakan tambang mampu milik, khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2026) 2025 pada persidangan itu, hari ini.

Tambahnya, dengan perancangan laluan antarabangsa seperti Singapura, Hong Kong, Bali, Jakarta dan mungkin Shenzhen, Sibu tidak boleh diketepikan.

“Walaupun sambungan berfasa, ia tetap meningkatkan pelancongan, perjalanan perniagaan dan peluang eksport kargo. AirBorneo harus menyatukan Sarawak — bukan sahaja dengan dunia, tetapi juga antara sesama kita secara adil dan inklusif,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan mengenai penguatkuasaan Ordinan Elektrik Sarawak, khususnya kuasa Sesco untuk memutuskan bekalan dan mendapatkan kembali kerugian akibat kecurian elektrik.

Katanya, walaupun penting untuk membanteras ketidakpatuhan, amalan semasa menzalimi pemilik hartanah yang tidak pernah mendapat manfaat atau terlibat dalam kesalahan tersebut.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar pindaan ordinan atau pewartaan peraturan baharu mewajibkan pendakwaan pesalah sebenar sebelum tuntutan kerugian; melarang pemotongan bekalan kepada hartanah yang tidak terlibat; dan mewujudkan jawatankuasa siasatan dalaman sebelum tindakan diambil.

“Ini kerana undang-undang mesti melindungi rakyat, bukan menghukum yang tidak bersalah,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, beliau menyatakan kegembiraan apabila melihat Belanjawan Sarawak 2026 sebagai belanjawan strategik dan mengembang, disokong oleh pemacuan semula hasil serta pengurusan kewangan berhemat.

“Dengan anggaran hasil RM13.05 bilion dan perbelanjaan biasa RM12.91 bilion, kita menjangkakan lebihan belanjawan sebanyak RM144 juta.

“Lebihan ini bukan sekadar angka; ia membuktikan bahawa Sarawak berada pada landasan yang betul dengan asas yang kukuh, membolehkan pelaburan lebih agresif dalam infrastruktur, transformasi digital serta pembangunan mampan tanpa menjejaskan disiplin kewangan,” jelasnya.

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha