NILAI sebuah syarikat penerbangan tidak lagi terbatas pada perkhidmatan di landasan kerana setiap laluan yang diwujudkan turut mempengaruhi arah pelaburan, perdagangan, pelancongan dan pembangunan yang membentuk masa depan sesebuah negeri.
Dalam konteks itu, AirBorneo memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar apabila syarikat milik Kerajaan Sarawak itu dibangunkan sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan negeri dan bukannya sekadar sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan udara.
Tidak dapat disangkalkan bahawa keperluan terhadap hubungan udara di Sarawak melangkaui fungsi sebagai kemudahan perjalanan.
Sebaliknya, ia menjadi pemangkin yang menghubungkan masyarakat dengan peluang ekonomi, pendidikan, rawatan kesihatan serta pelbagai perkhidmatan penting di seluruh negeri.
Felo Penyelidik AEGIS Research, Dr. Hussain Yusri Zawawi, ketika dihubungi Suara Sarawak menjelaskan syarikat penerbangan milik kerajaan dan syarikat penerbangan komersial mempunyai perbezaan ketara dari segi matlamat yang ingin dicapai.
Jelasnya, syarikat swasta memberi tumpuan kepada pulangan komersial, manakala syarikat milik kerajaan mengutamakan kepentingan awam serta keperluan masyarakat.
Pada masa sama, syarikat milik kerajaan turut memikul tanggungjawab untuk memastikan akses kepada perkhidmatan asas terus dinikmati tanpa mengira lokasi atau tahap keuntungan sesuatu laluan.
“Pendekatan tersebut menjadikan AirBorneo lebih daripada sekadar entiti perniagaan kerana syarikat penerbangan itu berpotensi menjadi instrumen dasar kerajaan bagi meningkatkan kesalinghubungan antara bandar dengan kawasan pedalaman, menggalakkan pelancongan, menarik pelaburan serta memperkukuh integrasi wilayah menerusi jaringan udara yang lebih menyeluruh.
“Pemilik syarikat penerbangan sendiri memberi ruang kepada kerajaan negeri untuk menentukan hala tuju pembangunan sektor penerbangan supaya bergerak seiring dengan agenda pembangunan ekonomi Sarawak dan bukannya bergantung sepenuhnya pada pertimbangan pasaran,” katanya.
MENGIMBANGI NILAI KOMERSIAL, SOSIAL
Keuntungan sering menjadi ukuran utama prestasi sesebuah syarikat dalam industri penerbangan. Namun, pendekatan AirBorneo berbeza kerana syarikat itu turut melibatkan tanggungjawab sosial kepada rakyat, khususnya di kawasan pedalaman.
Hussain menekankan bahawa kerajaan perlu membezakan laluan yang mempunyai nilai komersial dengan laluan yang mempunyai nilai sosial kerana kedua-duanya memainkan peranan berbeza dalam pembangunan negeri, walaupun tidak memberikan pulangan kewangan yang sama.
“Laluan yang menguntungkan boleh membantu menampung sebahagian kos operasi laluan luar bandar. Pada masa sama, bantuan kerajaan hendaklah disalurkan secara bersasar kepada laluan yang benar-benar memenuhi kepentingan awam melalui tadbir urus yang telus serta pengurusan profesional,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) tidak wajar dilihat sebagai beban kewangan kerana manfaatnya jauh melangkaui keuntungan operasi.
Perkhidmatan itu mampu membuka akses kepada pendidikan, rawatan kesihatan, peluang pekerjaan serta aktiviti ekonomi masyarakat pedalaman.
Pendekatan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa nilai sesebuah laluan penerbangan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah penumpang atau keuntungan yang dijana, tetapi juga berdasarkan sumbangannya terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan wilayah secara menyeluruh.
Bagaimanapun, kejayaan AirBorneo tetap bergantung kepada kerjasama dengan laluan yang mempunyai nilai sosial kerana kedua-duanya memainkan peranan berbeza dalam pembangunan negeri, walaupun tidak memberikan pulangan kewangan yang sama.
“Laluan yang menguntungkan boleh membantu menampung sebahagian kos operasi laluan luar bandar. Pada masa sama, bantuan kerajaan hendaklah disalurkan secara bersasar kepada laluan yang benar-benar memenuhi kepentingan awam melalui tadbir urus yang telus serta pengurusan profesional,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) tidak wajar dilihat sebagai beban kewangan kerana manfaatnya jauh melangkaui keuntungan operasi.
Perkhidmatan itu mampu membuka akses kepada pendidikan, rawatan kesihatan, peluang pekerjaan serta aktiviti ekonomi masyarakat pedalaman.
Pendekatan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa nilai sesebuah laluan penerbangan tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah penumpang atau keuntungan yang dijana, tetapi juga berdasarkan sumbangannya terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan wilayah secara menyeluruh.
Bagaimanapun, kejayaan AirBorneo tetap bergantung kepada kerjasama dengan pihak berkepentingan, sistem audit yang telus serta keputusan perniagaan dibuat berdasarkan kepakaran dan bukannya pertimbangan politik.
HUBUNGAN UDARA PEMANGKIN EKONOMI
Dari perspektif ekonomi pula, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Nor Afiza Abu Bakar, melihat AirBorneo sebagai instrumen pembangunan negeri yang berperanan menghubungkan pelaburan, perdagangan dan peluang ekonomi, bukan sekadar mengendalikan operasi penerbangan.
Menurutnya, fungsi syarikat penerbangan pada masa kini jauh lebih luas kerana bukan sahaja menghubungkan manusia, malah turut menjadi penghubung kepada perniagaan, pelaburan serta pelbagai peluang ekonomi yang akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi wilayah.
“Apabila hubungan udara bertambah baik, kos dan masa perjalanan dapat dikurangkan, sekali gus memudahkan aktiviti ekonomi berkembang, khususnya di Sarawak yang mempunyai kawasan geografi yang luas dan memerlukan tahap kesalinghubungan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut berpandangan pengangkutan udara mampu memberikan kesan pembangunan yang hampir sama seperti pembinaan jalan raya baharu kerana akses yang lebih baik dapat membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan pembangunan kawasan sekitar.
“Perkhidmatan penerbangan yang lebih baik mampu merancakkan pembangunan di kawasan bandar, sekali gus menyokong agenda Sarawak dalam memperkukuh ekonomi hijau, ekonomi digital dan pembangunan wilayah yang lebih seimbang.
“Maka, AirBorneo tidak seharusnya dinilai dari sudut sektor penerbangan semata-mata, sebaliknya berdasarkan keupayaannya mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih luas menerusi hubungan udara sebagai pemudah cara kepada pertumbuhan pelbagai sektor lain,” ujarnya.
DAYA SAING SERANTAU
Hubungan udara yang cekap bukan sekadar memudahkan pergerakan penumpang, malah turut membentuk persepsi pelabur terhadap keupayaan sesebuah wilayah menyokong aktiviti ekonomi moden menerusi infrastruktur yang boleh dipercayai dan rangkaian pengangkutan yang tersusun.
Nor Afiza menjelaskan pelabur bukan sahaja menilai insentif cukai atau kos menjalankan perniagaan, malah turut mengambil kira kemudahan untuk bergerak, bertemu rakan niaga, memantau projek serta membawa pelanggan dan tenaga kerja ke destinasi pelaburan.
Menurutnya, hubungan udara yang stabil memberi isyarat sesebuah negeri memiliki infrastruktur yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi moden, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur untuk melihat Sarawak sebagai destinasi yang bersedia menerima pelaburan bernilai tinggi.
“Pertambahan penerbangan terus serta rangkaian yang lebih baik ke bandar utama serantau akan memperkukuh usaha kerajaan negeri membangunkan sektor tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital serta industri bernilai tinggi yang menjadi pemacu ekonomi masa hadapan,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut berpandangan sektor pelancongan dijangka menerima kesan paling awal daripada peningkatan hubungan udara kerana akses yang lebih mudah sering menjadi antara faktor utama yang menentukan pilihan pelancong terhadap sesuatu destinasi.
Selain itu, pertumbuhan sektor pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada hotel dan pengusaha pelancongan, malah turut meningkatkan permintaan terhadap restoran, pengangkutan tempatan, perusahaan kecil dan sederhana serta pelbagai sektor sokongan yang berkait secara langsung dengan industri pelancongan.
Justeru, kesan ekonomi yang lebih besar dalam jangka panjang dapat diwujudkan menerusi peningkatan pelaburan apabila keyakinan terhadap Sarawak terus diperkukuh hasil jaringan udara yang lebih luas dan mudah diakses.
STRATEGI JANGKA PANJANG
Tidak kira sebesar mana potensi sesebuah syarikat penerbangan, kejayaannya tetap bergantung pada keupayaan melaksanakan strategi yang realistik serta mengambil kira cabaran sebenar industri penerbangan yang terkenal dengan margin keuntungan yang sempit dan kos operasi yang tinggi.
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Aeronautika Kolej Universiti i-CATS, Profesor Datuk Ir. Ts. Dr. Mohamad Dali Isa, berkata pendekatan AirBorneo yang memberi tumpuan kepada penstabilan operasi sebelum memperluas rangkaian penerbangan merupakan langkah yang bersesuaian dengan amalan industri penerbangan antarabangsa.
Menurutnya, pertumbuhan secara berperingkat membolehkan syarikat memperkukuh operasi, meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan serta membina asas kewangan yang lebih kukuh sebelum memasuki pasaran yang lebih kompetitif.
“Malah, perancangan untuk mengembangkan armada secara berfasa dilihat sebagai pendekatan yang lebih mapan kerana setiap pesawat baharu memerlukan tenaga kerja mahir, terlatih, penyelenggaraan, sokongan teknikal serta perancangan operasi yang rapi bagi memastikan kecekapan syarikat terus terpelihara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata strategi memerlukan perjanjian kerjasama antara syarikat penerbangan sebelum berkembang kepada perkongsian kod dan akhirnya menerusi pakatan penerbangan global disifatkan sebagai langkah yang mampu mengurangkan risiko, di samping memperluas pilihan destinasi kepada penumpang.
Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri penerbangan turut berpandangan kesinambungan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) perlu dikekalkan kerana perkhidmatan tersebut memainkan peranan penting dalam menghubungkan komuniti pedalaman dengan pusat pendaftaran, pendidikan, kesihatan dan kegiatan ekonomi negeri.
Namun, kelangsungan model tersebut memerlukan keseimbangan antara sokongan kerajaan, kecekapan operasi serta pembangunan rangkaian komersial supaya tanggungjawab sosial dapat diteruskan tanpa menjejaskan daya saing syarikat dalam jangka panjang.
“Cabaran sebenar AirBorneo bukan sekadar memperoleh pesawat baharu, sebaliknya membina tenaga kerja mahir, memperkukuh budaya keselamatan, menyesuaikan diri dengan transformasi digital serta menghadapi persaingan industri yang semakin sengit,” katanya.
LEBIH DARIPADA KEUNTUNGAN
Walaupun keuntungan kekal penting bagi menjamin kelangsungan operasi sesebuah syarikat, semua pihak yang dihubungi berkongsi pandangan sama bahawa kejayaan AirBorneo perlu dinilai berdasarkan impaknya terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Nor Afiza berkata, petunjuk sebenar kejayaan ialah sejauh mana AirBorneo berjaya meningkatkan jumlah pelancong, menarik pelaburan baharu, mewujudkan lebih banyak penerbangan terus ke destinasi antarabangsa serta merancakkan aktiviti ekonomi di seluruh Sarawak.
“Manfaat tersebut tidak seharusnya tertumpu di Kuching sahaja, sebaliknya perlu turut dirasai di bandar seperti Miri, Bintulu dan Sibu serta kawasan lain agar pembangunan wilayah dapat berkembang dengan lebih seimbang,” ujarnya.
Pandangan tersebut seiring dengan pandangan Hussain yang melihat peningkatan akses penduduk luar bandar kepada pengangkutan udara, kebolehpercayaan jadual penerbangan, kemampuan menawarkan tambang yang kompetitif serta pengurangan jurang pembangunan sebagai antara petunjuk penting kejayaan dasar awam.
BUKA PINTU SARAWAK KEPADA DUNIA
Bagi industri pelancongan pula, hubungan udara bukan sekadar membawa pelawat ke Sarawak, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan negeri sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa yang mampu bersaing di rantau ASEAN.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dr. Sharzede Salleh Askor, rangkaian penerbangan yang lebih luas berpotensi meningkatkan daya tarikan Sarawak dalam kalangan pelancong antarabangsa, selain menyokong pertumbuhan pelancongan perniagaan, budaya serta berasaskan alam semula jadi.
Jelasnya, hubungan udara yang lebih baik memudahkan penganjuran acara antarabangsa serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pintu masuk ke Borneo menerusi akses yang lebih mudah kepada pelawat dari pasaran serantau dan global.
“Pelancaran AirBorneo bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri pelancongan, malah memperkukuh imej Sarawak sebagai negeri yang mempunyai infrastruktur moden, mudah diakses serta bersedia menerima pelaburan, persidangan dan pelbagai aktiviti ekonomi antarabangsa,” katanya.
Dalam konteks yang lebih luas, AirBorneo membawa ukuran kejayaan yang berbeza daripada kebanyakan syarikat penerbangan kerana impaknya bukan sahaja dinilai berdasarkan prestasi operasi, malah turut dinilai berdasarkan sumbangannya terhadap pembangunan negeri.
Perjalanan ke arah matlamat tersebut bergantung pada keupayaan AirBorneo mengekalkan keseimbangan antara kelestarian operasi, keperluan pembangunan negeri dan manfaat yang dapat dinikmati oleh rakyat di seluruh Sarawak.
Jika matlamat itu berjaya direalisasikan, AirBorneo bukan sekadar menghubungkan destinasi, malah berpotensi menjadi pemangkin yang membawa Sarawak melangkah lebih jauh sebahagian negeri lebih berdaya saing dan mempunyai hubungan lebih luas dengan dunia.



