PENYANYI muda berbakat besar, Aisha Retno, tidak dapat menahan sebak apabila melihat kehadiran lebih 1,000 peminat yang membanjiri showcase sulungnya, The Aisha Experience, yang berlangsung di Jio Space, Sabtu lalu.
Aisha, atau nama penuhnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, 25, menyifatkan penganjuran showcase itu sebagai titik permulaan penting untuk dirinya dikenali dengan lebih mendalam sebagai seorang artis.
Naib juara ketiga Big Stage musim keempat itu turut menzahirkan penghargaan buat kelab peminatnya, Aishalicious, yang sentiasa memberi sokongan sejak awal pelibatannya dalam dunia seni.
Sepanjang persembahan, Aisha mendendangkan 20 lagu popularnya antaranya Jeda, Samudera, Terbang, Mengikat Jiwa, Pencarianku, Sutera dan Tak Adil, selain mempersembahkan single baharu bersama Ade Govinda berjudul Semoga Saja.
Showcase itu turut dimeriahkan dengan penampilan istimewa artis jemputan seperti Liza Hanim, Aizat Amdan, Megat Fazly (Mafi dz), Sya dan Lucidrari.
Aisha sebelum ini dijadualkan mengadakan konsert Malam Sutera Aisha Retno pada November tahun lalu, namun ia dibatalkan oleh pihak penganjur atas alasan jualan tiket yang tidak memberangsangkan.
Aisha, bagaimanapun, menyifatkan kenyataan pihak terbabit berhubung pembatalan itu sebagai tidak profesional.






