Ajak anak muda imarah masjid

KUCHING: Setiap individu bukan sekadar memerlukan kecerdasan minda dan rohaniah malah harus fokus kecergasan badan.

Program Fit Masjid merupakan salah satu usaha Jabatan Belia dan Sukan Negeri untuk mendekatkan anak muda dengan masjid.

Menurut Pegawai Kepimpinan dan Pembangunan Sahsiah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Muhammad Aniq Nazmy Zulkifly, program ini diadakan khusus kepada anak muda dan belia untuk bersukan sambil mengeratkan diri dengan ilmu kerohanian.

“Tujuan program ini diadakan juga untuk memeriahkan masjid dengan kehadiran golongan muda. Kami ingin golongan muda atau belia tidak menganggap masjid hanya untuk tempat beribadah semata-mata.

“Saya berharap gabungan program riadah dan ibadah akan membuat golongan muda lebih tertarik untuk mengunjungi masjid.

“Hal ini kerana mereka akan mengetahui aktiviti digemari seperti bersukan juga boleh dilakukan di kawasan masjid,” ujarnya.

Seramai 300 orang menyertai program Fit Masjid di Masjid Al-Abyad (Masjid Putih), Matang Jaya, baru-baru ini. Program ini dimulakan dengan kuliah subuh khas daripada ustaz Salleh Hamden, sebelum diteruskan dengan aktiviti Fun Walk.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pertandingan dan terapi mewarna, pertandingan khat, pertandingan azan, pertandingan bola sepak jalanan dan sukaneka.

Salah seorang peserta, Mira Faizura Narawi berkata, program ini sangat digalak untuk menarik perhatian golongan muda.

“Saya berharap program ini akan lebih terbuka kepada orang awam tidak kira usia.

“Bukan sekadar menumpukan perhatian terhadap kanak-kanak, golongan dewasa juga berpeluang turut serta menyertai pertandingan yang diadakan,” katanya.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Pemangku Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Zaini Abd Aziz dan Pengerusi Masjid Al-Abyad Md Ahir Ahmad.

Suara Sarawak