
KUCHING: Padah memiliki wang secara tidak sah berjumlah RM1,300 selepas akaun peribadinya digunakan untuk Macau Scam, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,300 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mohd Eswandy Hasan,24, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia memiliki sejumlah wang RM1,300 secara tidak sah dalam satu transaksi dari sebuah bank di Satok, kira-kira jam 11.59 tengah hari, 29 Julai 2022.
Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda RM500, jika sabit kesalahan.
Zubaidah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal menjelaskan denda.
Menurut fakta kes, pengadu merupakan seorang wanita berusia 21 tahun telah terpedaya dengan panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali menyamar sebagai pegawai operasi cukai LHDN.
Pegawai itu memaklumkan kepadanya bahawa mangsa ada membuka satu syarikat dan tidak membayar cukai namun mangsa menafikan ada membuka syarikat tersebut.
Namun demikian, mangsa ada memberi maklumat perbankan kepada lelaki tersebut seterusnya menyedari terdapat satu transaksi dikeluarkan dari akaunnya masuk ke akaun tertuduh.
Mangsa kemudian membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.
Hasil siasatan mendapati tertuduh adalah pemilik akaun terbabit selain mengaku menerima satu transaksi wang ke dalam akaunnya.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




