KAMI di Suara Sarawak cukup bertuah kerana pihak pengurusan menganjurkan tiga kursus tentang ciptaan terhebat tamadun manusia di muka bumi, kecerdasan buatan (AI) pada Ogos dan awal September lalu.
Ia bukan hanya untuk wartawan, tetapi juga untuk editor, ketua pengarang, pereka letak serta bahagian lain yang berkaitan.
Kursus yang disampaikan oleh pensyarah dari pusat pengajian tinggi awam itu mendedahkan tentang dunia AI, membabitkan 90 peratus praktikal dalam tempoh enam jam untuk setiap kursus, yang bermula 8.00 pagi hingga 3.00 petang.
Banyak benda baharu yang kami pelajari, yang memudahkan tugas wartawan dan editor di bilik berita. Malah AI turut membantu pereka letak, dalam mencitikkan imej serta tatarias akhbar.
Hakikatnya, AI memainkan peranan yang cukup penting, sebagai alat bantu, memudahkan pencarian maklumat, data dan fakta. Bantuan AI sangat menggallakkan, malah menjimatkan masa.
Misalnya sepanjang Piala Dunia 2026 pada Jun hingga Julai lalu, AI banyak membantu kami dalam penghasilan infografik, profil pemain, jurulatih dan pasukan. Malah dalam tragedi helikopter di Baram baru-baru ini, AI telah menghasilkan kronologi nahas dalam bentuk fakta dengan lengkap, yang disiarkan di muka depan akhbar ini.
Adakah AI bakal mengambil alih tugas wartawan atau editor suatu hari nanti? Yang pasti, AI hanyalah mesin pintar yang berfungsi 24 jam sehari.
Ia bukanlah manusia yang mempunyai jiwa, roh, pertimbangan dan tanggungjawab terhadap setiap berita yang disiarkan, yang menjadi benteng utama kredibiliti dunia kewartawanan.
Setiap maklumat dirawat daripada AI mesti disemak oleh manusia, bagi memastikan kesahihannya, terutama di peringkat akhir operasi bilik berita.
Penggunaan AI dalam penulisan perlu disertai integriti dan etika supaya teknologi tersebut tidak mengambil alih sepenuhnya proses penghasilan berita atau karya.
Berita yang dihasilkan sepenuhnya oleh generatif AI semakin berleluasa tanpa penjagaan integriti dan etika sebagai penulis. Kemampuan AI menyusun kata dan teks dengan lebih indah serta keliatan bermakna boleh menyebabk an manusia mudah terperangkap. Harus diingat bahawa penulisan merupakan proses intelektual. Penulisan memerlukan pengalaman, imaginasi, kesedaran serta pertimbangan emosi dan nilai dalam pencarian makna.
Oleh itu, AI belum mampu mengambil alih tugas manusia. Lagi pula, AI belum diajar untuk berbuat demikian. Malah sekalipun AI bertindak sebagai editor, masih diperlukan kelibat manusia, sebagai pemeriksa.
Cabaran sebenar terhadap kredibiliti timbul apabila pengguna tidak memahami cara menggunakan AI dengan berkesan atau tidak mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai perkara yang sedang diusahakan.
Misalnya, setiap arahan kepada AI hendaklah difahami dengan baik oleh pengguna, kerana kegagalan memahami subjek yang ingin disampaikan, menyebabkan pengguna gagal menyesuaikan keperluan. Kesilapan hanya boleh dikesan jika pengguna benar-benar mengetahui subjek. Misalnya, fakta dan data tentang sejarah pilihan raya di Sarawak, perlu disemak terlebih dahulu sebelum diterbitkan.
Cabaran dan harapan
Realitinya AI bukanlah cabaran bagi akhbar cetak, kerana ia banyak membantu. Mungkin beberapa tahun lagi, jika AI diprogramkan untuk menjadi wartawan dan editor, maka ia boleh menggugat jumlah manusia di bilik berita, tetapi kelibat manusia sebagai orang terakhir masih diperlukan.
Seiring peredaran masa, cabaran terbesar akhbar cetak hari ini ialah perubahan drastik tabiat membaca, sejak 10 tahun kebelakangan ini. Hanya segelintir warga emas yang masih membeli akhbar atau menjadi akhbar sebagai teman di meja sarapan, kerana masyarakat menggunakan telefon pintar untuk mengetahui perkembangan semasa.
Generasi muda khususnya tidak lagi menunggu akhbar tiba di halaman rumah. Mereka mahu mengetahui sesuatu berita ketika ia berlaku. Misalnya keputusan perlawanan bola sepak, tragedi, perkembangan politik panas, maklumat boleh tersebar di media sosial dalam tempoh beberapa minit, malah beberapa saat.
Keadaan ini menyukarkan survival akhbar cetak, di seluruh dunia yang kebanyakannya ‘tutup kedai’. Misalnya, akhbar The Independent UK menamatkan versi cetak pada 2 Mac 2016, serta menamatkan khidmat 100 pekerja. Begitu juga Newsweek yang kali terakhir dicetak pada 2012, selepas lahir pada 1933.
Manakala akhbar tertua di Malaysia, Malay Mail menerbitkan edisi terakhirnya pada 1 Disember 2018, setelah 122 tahun beroperasi. Sejak 2 Disember 2018, ia hanya boleh didapati di alam maya, dan tiada lagi bau kertas awak pagi bersama teh tarik atau kopi panas.
Begitu juga nasib akhbar nasional, Utusan Malaysia yang terpaksa menamatkan operasi pada 2020 setelah berusia lebih 80 tahun. Namun selepas itu kembali beroperasi dengan wajah baharu, dalam bentuk tabloid (saiz kecil).
Akhbar tempatan Bumi Kenyalang, Utusan Sarawak dan Mingguan Sarawak pula menghentikan penerbitan edisi cetak pada 1 Mac 2025 selepas diterbitkan semula pada 1994. Penerbitan pertamanya pada 1949.
Namun Utusan Sarawak mengekalkan platform dalam talian hingga kini, dengan staf yang sangat terbatas. Ia beroperasi sepenuhnya melalui versi laman sesawang, aplikasi Utusan Sarawak serta laman Facebook Utusan Sarawak. Mungkin ada lagi yang akan menyusul selepas ini.
Hakikat yang harus diterima ialah berita yang dicetak hari ini, sudah pun diketahui pembaca sejak semalam, atau selewat-lewatnya malam tadi.
Oleh itu, akhbar cetak tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada berita tersebut. Perubahan boleh dilakukan dalam bentuk penyampaian, tidak lagi bergantung kepada berita sepenuhnya, tetapi dalam konteks ulasan atau sudut pandang… boleh jadi dalam bentuk ulas semula, atau komen membina.
Inilah yang dilakukan oleh Suara Sarawak sekarang ini.
Akhbar cetak perlu beralih kepada berita yang mempunyai nilai tambah. Misalnya laporan mendalam, analisis, wawancara eksklusif, rencana, komentar dan kisah manusia yang tidak semestinya boleh diperoleh melalui hantaran media sosial.
Kecualilah berita yang benar-benar penting, misalnya tragedi, pembubaran untuk pilihan raya atau peralihan pucuk pimpinan… namun ia harus disertai sudut pandang pihak berkaitan mahupun tidak berkaitan, agar berita tersebut lebih eksklusif dan baharu.
Oleh itu, akhbar cetak tidak boleh lari daripada penerbitan digital. Ia mesti seiring, saling membantu. Apa yang sudah disiarkan dalam bentuk digital, tidak perlu lagi disiarkan dalam cetakan.
Akhbar cetak perlu ditransformasikan, misalnya mengurangkan jumlah halaman, hanya menyiarkan isu-isu penting, komentar dan memberikan banyak rencana eksklusif, terutama dari luar bandar.
Atau mungkin tidak perlu diterbitkan setiap hari, misalnya tiga atau empat kali seminggu.
Yang pasti sokongan periklanan atau kewangan daripada badan berkepentingan sangat penting untuk akhbar cetak terus beroperasi.


