JAKARTA: Tepukan gemuruh bergema daripada orang ramai apabila Satrio “Rio”, seekor anak panda gergasi jantan berusia enam bulan yang dilahirkan di Indonesia, berjalan perlahan-lahan ke hadapan, memanjat tangga kayu dan berguling manja di hadapan pengunjung yang teruja.
Suasana yang mencuit hati itu berlaku pada Selasa di Istana Panda yang terletak di Taman Safari Indonesia, Wilayah Jawa Barat, lapor Xinhua.
Rio, yang kini sudah mula tumbuh gigi pertama, kelihatan semakin ligat meneroka kawasan sekelilingnya. Gelagat bersahaja anak panda yang lahir pada 27 November 2025 itu nyata memikat hati pengunjung, sehinggakan lensa kamera mereka tidak menang tangan merakam setiap aksi comelnya.
Kelahiran Rio merupakan pencapaian tertinggi dalam perjalanan pemuliharaan jangka panjang yang bermula sejak 2017, iaitu tahun ketibaan ibu bapanya, Hu Chun dan Cai Tao, di Indonesia.
Diiktiraf sebagai khazanah negara yang amat bernilai di China, “duta berbulu” ini digemari di peringkat global selaku simbol keamanan dan jalinan persahabatan. Kehadiran pasangan panda berkenaan telah membuka jalan kepada satu lagi kisah kejayaan dalam usaha pemuliharaan rentas sempadan.
Nama “Satrio Wiratama” yang membawa maksud pahlawan yang berani dan mulia, telah dianugerahkan sendiri oleh Presiden Indonesia Prabowo Subianto. Nama itu melambangkan kepentingan kritikal dalam melindungi spesies terancam selain mewakili harapan baharu bagi usaha pemuliharaan global.
Pengarah Urusan Taman Safari Indonesia, Aswin Sumampau berkata kelahiran Rio bukan sahaja satu kejayaan bagi pemuliharaan hidupan liar, malah menjadi bukti kukuh kepada hubungan persahabatan yang semakin erat antara kedua-dua negara.
“Saya berpandangan bahawa kelahiran bayi Rio ini merupakan satu mercu tanda yang menunjukkan bahawa persahabatan antara Indonesia dan China mampu melonjak ke tahap yang lebih tinggi pada masa hadapan,” kata Sumampau.
Beliau berkata pencapaian itu membuka jalan kepada penyelidikan yang lebih mendalam dan kerjasama pemuliharaan yang lebih luas, yang tidak hanya terhad kepada panda gergasi tetapi juga meliputi spesies terancam yang lain.
Di sebalik kemunculan sulung Rio yang comel di hadapan umum, tersimpan usaha kolaborasi saintifik yang rapi dan jitu selama bertahun-tahun. -Bernama-Xinhua



