KUCHING: Perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala RCBP Serian 2023 yang sebelum ini dijadual berlangsung pada 1 Julai, ditunda ke tarikh baharu.
Setiausaha kejohanan, Raymond Lori menegaskan, pihaknya terpaksa mengubah tarikh bagi perlawanan akhir itu ekoran masalah yang tidak dapat dielakkan.
“Jadual asal kita untuk perlawanan akhir pada 1 Julai tetapi ditunda ke tarikh baharu iaitu 9 Julai.
“Keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat membabitkan jawatankuasa penganjur baru-baru ini,” ujar Raymond kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Raymond, pihaknya sudah memaklumkan tentang perubahan tarikh baharu itu kepada pengurus pasukan terlibat.
Setakat ini 12 pasukan sudah pun berjaya menempah tiket ke pusingan kedua.
Pasukan terbabit ialah Bidak Plaman FC, Nerachi FC, BB United, Keling Kenyalang FC, Black Rovers, Belfa FC, Mix-M FC, Sijo FC, Atilla FC, SFL United FC, Lescott SFC dan SS17 FC.






