Aksi ke-11 Kuching City di Stadium Negeri

SKUAD Kuching City FC (KCFC) akan beraksi di Stadium Negeri dalam aksi ke-11 Liga Premier, selepas selesainya 10 aksi di gelanggang lawan.

Ini bermakna, skuad KCFC akan pulang ke Kuching selepas perlawanan ke-10 di gelanggang lawan.

Baki 10 aksi, akan diadakan di Stadium Negeri.

Kini KCFC telah pun mengharungi empat perlawanan, dan akan menempuhi enam lagi aksi di gelanggang lawan.

Ketua Pegawai Eksekutif KCFC, Iswandi Ali Hassan, menjelaskan mereka akan kembali ke Kuching sebaik tamatnya 10 aksi di Semenanjung, yakni di gelanggang lawan.

Mengikut jadual asal, perlawanan ke-10 KCFC ialah menentang Perak II pada 1 Mei. Manakala aksi ke-11, juga menentang Perak II pada 26 Mei.

Ini bermakna, KCFC hanya akan pulang ke Kuching pada 2 Mei, dan akan beraksi di Stadium Negeri pada 26 Mei.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah pun memberi kebenaran kepada pasukan-pasukan Liga Premier untuk beraksi di Kuching, berpasukan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Antaranya ialah mewajibkan pemain serta pegawai pasukan menjalani ujian Covid-l9 rt-PCR, tiga hari sebelum bertolak ke Sarawak.

Mereka juga dikehendaki memohon melalui ‘EnterSarawak’ dengan menyertakan semua dokumen sokongan.

Pasukan hanya dibenarkan berada di Sarawak selama tiga hari dua malam, tanpa kuarantin.

Di samping itu, pergerakan pasukan dihadkan dari hotel kediaman ke tempat pertandingan ataupun ke tempat latihan sahaja.

Pihak FAM dan FAS bertanggungjawab untuk memastikan Garis Panduan dipatuhi oleh pemain mahupun pegawai pasukan terbabit.

Para penonton dibenarkan masuk stadium dengan jumlah 4,000 hingga 5,000 penonton mulai selepas 1 April.

KCFC akan menentang pendahulu liga, Negeri Sembilan di Paroi Sabtu ini.

Suara Sarawak