ARTIKEL

Akta Penagih Dadah dipinda, kurangkan kesesakan di penjara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kepada Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan bagi menempatkan penagih dadah di pusat pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata langkah itu yang akan dibuat dalam masa terdekat juga dilihat mampu mengurangkan kesesakan di penjara di seluruh negara yang turut menempatkan banduan penyalahgunaan dadah.

“… sekarang kami dalam peringkat kajian untuk kami perincikan (pindaan),” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ismail berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai langkah kerajaan dalam memastikan penagih dadah tidak dipenjarakan sebaliknya ditempatkan di Pusat Rawatan dan Pemulihan (CCRC) bagi tujuan pemulihan yang lebih berkesan.

Menjawab soalan asal Datuk Wilson Ugak Kumbong (GPS-Hulu Rajang) mengenai bahagian di Sarawak yang mempunyai tangkapan penyalahgunaan dadah tertinggi, Ismail berkata berdasarkan statistik suku pertama tahun ini, Kuching mencatatkan angka tertinggi iaitu 1,499 orang.

“Berdasarkan maklumat terkumpul Polis Diraja Malaysia, AADK, Kementerian Kesihatan dan pusat pemulihan dadah persendirian, pada suku pertama 2020, Sarawak mencatatkan 3,998 orang dengan Kuching merekodkan tangkapan tertinggi iaitu 1,499 orang.

“Mengikut tangkapan tahunan, pada 2018 seramai 4,762 orang ditangkap dan pada 2019 seramai 6,774 orang penagih ditahan,” katanya.

— BERNAMA

BERITA LAIN

RM545 juta perkukuh Internet di Sarawak

KUCHING: Sebanyak RM545 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan fasa pertama Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 di Sarawak, melibatkan hampir 350 lokasi di seluruh negeri. Menteri Komunikasi

BERITA TERBARU

Majlis perundingan dicadang pacu pembangunan SDZ

KUCHING: Penubuhan Majlis Perundingan Pembangunan Zon Ekonomi Khas Sibu (SDZ) dicadangkan bagi menyelaraskan keutamaan pembangunan dan memastikan pelaksanaannya memenuhi keperluan rakyat, selain menggalakkan penyertaan pelbagai