BAGI sesetengah mahasiswa, kehidupan di universiti mungkin sekadar menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan mengejar keputusan akademik yang baik.
Namun, bagi Nur Khairunissa Bujang Mohammed Ali, 23, pengalaman di universiti lebih bermakna apabila turut diisi dengan pelbagai aktiviti serta pelibatan dalam organisasi.
Gadis berasal dari Miri, Sarawak itu merupakan pelajar tahun tiga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang mengikuti program Ekonomi Perkhidmatan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.
Sejak semester pertama pada tahun pertama, beliau sudah mula melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai program universiti.
Baginya, pelibatan tersebut bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi ruang untuk mencabar diri dan membina pengalaman di luar bilik kuliah.
“Saya ingin mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa walaupun saya agak pendiam.
“Dengan menyertai pelbagai aktiviti dan memegang jawatan dalam organisasi, saya dapat meningkatkan keyakinan diri, memperbaik kemahiran berkomunikasi dan belajar bekerjasama dengan pelbagai individu,” katanya.

Menurutnya, Kelab Keselamatan dan Fasiliti di kolej merupakan antara organisasi yang disertainya dan beliau berperanan sebagai sekretariat. Melalui jawatan tersebut, beliau terlibat dalam rondaan keselamatan secara berkala selain membantu menguruskan keperluan logistik bagi aktiviti kolej.
Selain itu, beliau turut menyertai Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (PERFEP) sebagai sekretariat bagi Exco Ksukarelawanan dan Pelibatan Komuniti.
Jawatan itu memberi peluang untuk menjadi ahli jawatankuasa dalam pelbagai program dan majlis di peringkat fakulti.
Melalui PERFEP, beliau turut berpeluang memilih bidang yang diminati seperti logistik dan teknikal, media dan publisiti, disiplin serta protokol, sekali gus membolehkannya mencuba pelbagai skop tugas.
“Kalau saya tidak cuba untuk aktif dan menyertai pelbagai kelab serta program di universiti, saya rasa saya akan rugi kerana peluang ini hanya datang sekali,” katanya.

Pelibatan Nur Khairunissa tidak terhenti pada aktiviti kolej dan fakulti apabila beliau turut menyertai Pameran Pengambilan Bakat dan Kerjaya (TRACE), pameran kerjaya yang diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa.
Pada sesi 2024/2025, beliau diberi kepercayaan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Kreatif dan Reka Bentuk.
Tanggungjawabnya merangkumi penyediaan poster, kain rentang, gegantung, dinding penghargaan, reka bentuk pakaian serta pelbagai bahan grafik.
Menariknya, beliau memegang jawatan itu ketika belum mempunyai pengalaman menghasilkan bahan promosi formal berskala besar.
“Saya tidak mempunyai pengalaman langsung dalam mereka bentuk poster formal atau bahan promosi berskala besar seperti kain rentang, gegantung, dinding penghargaan dan papan maklumat yang digunakan untuk pam eran kerjaya,” katanya.
Beliau berkata, situasi itu pada awalnya memberikan tekanan kepadanya kerana setiap rekaan perlu kelihatan menarik, tetapi pada masa sama mengekalkan imej profesional pameran kerjaya yang menghimpunkan pelbagai syarikat dan industri.

Sementara itu, Khairunissa berkata, persediaan TRACE juga mengambil masa yang panjang dan memerlukan kerjasama antara pelbagai bahagian.
Baginya, pengalaman tersebut membuka matanya tentang cara sesebuah organisasi berfungsi dalam menguruskan program berskala besar.
“Menyertai TRACE memberikan pengalaman kepada saya tentang cara sesebuah organisasi dalam dunia pekerjaan berfungsi kerana TRACE merupakan organisasi yang ditubuhkan dan diuruskan oleh pelajar,” ujarnya.
Pada tahun kedua, Nur Khairunissa sekali lagi menyertai Kelab Keselamatan dan Fasiliti, namun kali ini sebagai setiausaha.
Antara tanggungjawabnya termasuklah mencatat minit mesyuarat, menyediakan memorandum dan kertas kerja bersama ketua exco serta melaksanakan tugasan di bawah skop kesetiausahaan.
Beliau turut menyertai Kelab Silat Cempaka sebagai Timbalan Presiden selepas sebelum ini hanya menjadi ahli aktif sejak tahun pertama dan menyertai beberapa persembahan silat.
Namun, semakin banyak pelibatan, semakin besar tanggungjawab yang perlu dipikul.
“Saya sukar mengimbangi pelbagai komitmen pada satu-satu masa apabila memegang jawatan tinggi kerana saya perlu memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik tanpa menjejaskan prestasi kelab dan akademik,” katanya.

Lebih penting, beliau tidak mahu kesibukan dalam aktiviti universiti menjadi alasan sehingga menjejaskan prestasi akademik atau kesihatan ahli yang berada di bawah tanggungjawabnya.
Dalam menguruskan kesibukan tersebut, beliau mengutamakan kelas dan tugasan akademik sebelum memenuhi komitmen kokurikulum.
Beliau juga memastikan tugasan dirancang lebih awal dan dibahagikan bersama ahli kumpulan supaya dapat diselesaikan sebelum tarikh akhir.
Langkah itu sekali gus membolehkannya mempunyai masa untuk menghadiri mesyuarat, menyertai program kelab dan melaksanakan tanggungjawab lain tanpa mengabaikan akademik.
Beliau berkata, dalam sesetengah keadaan, beberapa mesyuarat atau program turut diadakan hampir dengan tarikh penghantaran tugasan dan peperiksaan.
Namun, keadaan itu diatasi dengan menetapkan keutamaan dan menyiapkan tugasan lebih awal.
Selain pengurusan masa, beliau turut belajar berhadapan dengan individu yang mempunyai pandangan dan cara kerja yang berbeza.
“Saya belajar untuk berkomunikasi dengan lebih baik, mendengar pendapat mereka dan mencari penyelesaian yang memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Daripada pengalaman berorganisasi, beliau memperoleh pelbagai kemahiran seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan, pengurusan masa, penyelesaian masalah dan pengurusan majlis.

Beliau juga mempelajari cara membuat keputusan sebagai pengarah jabatan, menyesuaikan diri dalam pelbagai keadaan serta berinteraksi dengan individu daripada latar belakang yang berbeza.
“Dari segi nilai, saya menerapkan sikap bertanggungjawab, berdisiplin serta proaktif dalam setiap tugasan yang diberikan,” katanya.
Lebih membanggakan, pelibatan aktif dalam pelbagai program tidak menghalangnya daripada mencapai prestasi akademik yang baik apabila beliau berjaya memperoleh Anugerah Dekan selama dua semester berturut-turut.
“Saya beranggapan bahawa pelibatan aktif dalam aktiviti kolej dan subprogram di bawah organisasi yang saya sertai,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan mahasiswa yang ingin mula aktif supaya tidak takut untuk mencuba dan berani keluar daripada zon selesa.
“Libatkan diri dalam program yang sesuai dengan minat dan matlamat diri kerana setiap penyertaan memberikan pengalaman serta peluang untuk mempelajari kemahiran baharu,” katanya.
Pada masa sama, katanya, mahasiswa perlu bijak menguruskan masa agar pelibatan dalam aktiviti kokurikulum tidak menjejaskan prestasi akademik.
“Jangan menggalas terlalu banyak jawatan atau menyertai terlalu banyak program sekiranya merasakan diri tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya kerana kita perlu bekerjasama dengan banyak pihak,” jelasnya.
Menurutnya, mahasiswa juga perlu bertanggungjawab terhadap tugasan akademik, khususnya tugasan berkumpulan dan tidak menggunakan kesibukan dalam aktiviti universiti sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab.
“Jangan menjadi penumpang percuma dengan alasan sibuk menyertai aktiviti universiti.
“Kita perlu bertanggungjawab bukan sahaja terhadap penyertaan dalam program, tetapi juga terhadap tugasan akademik,” ujarnya.
Paling penting, beliau meneru mahasiswa supaya tidak menunggu rakan untuk mula aktif kerana keberanian untuk mencuba perlu datang daripada diri sendiri.
“Peluang ini mungkin tidak datang berkali-kali. Gunakan peluang dan masa yang ada sebelum kita menyesal kerana tidak pernah menyertai sebarang aktiviti di universiti dan mencipta pelbagai kenangan sebagai mahasiswa,” katanya.
Daripada seorang pelajar yang mengakui dirinya agak pendiam, keberanian untuk melangkah keluar daripada zon selesa membuka lebih banyak peluang kepadanya untuk belajar, memimpin dan berkembang.
Perjalanannya membuktikan bahawa kehidupan mahasiswa bukan hanya tentang perkara yang tercatat dalam transkrip akademik, tetapi juga tentang pengalaman, cabaran dan keberanian untuk mencuba sesuatu baharu sebelum melangkah ke alam lebih luas.


